Connect with:




Aksi kelayakan Piala Asia 2019 menyaksikan Malaysia yang hampir membaham pendahulu Kumpulan B, Lubnan sebelum tewas tipis 1-2 di Stadium Camille Chamoun Sports City, Beirut, semalam.

Namun, bukan sahaja Malaysia mempamerkan corak permainan menyerang yang padu, malahan, barisan pertahanan negara juga wajar diberikan pujian kerana sering menyekat pihak lawan yang dilihat bergelut untuk memecah masuk ke kotak penalti.

Meskipun tewas, skuad bimbingan Tan Cheng Hoe yang dibarisi ramai muka baru dan kurang berpengalaman itu boleh diberi peluang lagi untuk mengasah jentera mereka yang boleh mencemaskan pertahanan lawan menerusi beberapa gerakan serangan yang dilancarkan dalam aksi tersebut.

Di awal adegan pertama, Malaysia terpaksa berputih mata selepas pengadil perlawanan, Valentin Kovalenko tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalty kepada tuan rumah selepas Matthew Dvies menjatuhkan kapten pasukan Lubnan, Hassan Maatouk pada minit ke-18.

Gol pembukaan Maatouk hasil dari satu rembatan kencang menerjah penjuru kiri gol menyedarkan Malaysia untuk lebih menggasak masuk ke kotak penalti tuan rumah.

Dalam pada itu, Lubnan nyaris dikejutkan Malaysia apabila percubaan tendangan Zaquan Adha Abd Razak sedikit tersasar melewati palang gol pada minit ke-22 sebelum penjaga gol, Mehdi Kahlil menempelak hantaran lintang Davies selang enam minit kemudian.

Babak kedua bersambung, Lubnan dilihat menajamkan jentera serangan untuk memburu gol tambahan namun, hanya selepas 10 minit spertama separuh masa kedua Rabih Ataya cuba menyumbat bola menerusi bahagian sayap kanan tetapi cubaannya terkena palang pada minit ke-58.

Percaturan Cheng Hoe untuk membawa masuk penyerang Johor Darul Ta’zim, Syafiq Ahmad akhirnya memberi impak positif selepas penyerang muda itu mengejutkan Lubnan dengan meledak gol penyamaan menerusi tandukan deras hasil sepakan sudut pada minit ke-72 untuk menjadikan kedudukan 1-1.

Pada minit ke-84, Malaysia tersentap syukur selepas jaringan Hilal Al Helwe dibatalkan pengadil selepas dia dilihat berada dalam kedudukan ofsaid.

Begitupun, dia menebus kehampaan selepas meledak gol pada minit keempat masa tambahan untuk gol kemenangan tuan rumah.