Connect with:




Barisan pemain Harimau Malaya diingatkan agar tidak terlalu lena dibuai kejayaan menyingkirkan juara bertahan, Thaliand bagi mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Piala AFF Suzuki 2018.

Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menuntut barisan pemainnya agar tidak terlalu meraikan kejayaan itu hingga terlupa perjuangan belum lagi berakhir kerana satu lagi tugas getir menanti mereka di pentas final pada 11 dan 15 Disember ini.

“Sepanjang bergelar pemain mahupun jurulatih, ini merupakan perlawanan paling mendebarkan buat saya. Thailand bukan saja mendahului sebanyak dua kali malah mereka dihadiahkan sepakan penalti di minit akhir perlawanan. Perlawanan bertemu Thailand sudah menjadi sebuah memori dan sejarah.

“Kita berada di pentas final sekarang tapi masih awal untuk kita berpuas hati meskipun telah mencapai sasaran ditetapkan, kerana tidak kira pertandingan mana sekalipun, sebaik saja tiket final berada dalam tangan, sasaran juga perlu beralih arah untuk menjadi juara

“Kita harus buktikan mengapa kita layak ke final adalah kerana kita memang layak bukan kerana nasib atau kebetulan, kejayaan keatas Thailand bukan satu jaminan kita akan muncul juara nanti, maka pemain harus kekal fokus dan berdisplin,” kata Cheng Hoe.

Selepas berjaya ke pentas final bagi edisi 1996, 2010 dan 2014, keputusan seri 2-2 di Stadium Nasional Rajamangala pada Sabtu, mengesahkan tiket final kali keempat buat Harimau Malaya menerusi kelebihan jaringan ditempat lawan.

Cheng Hoe sebelum ini pernah menjulang Piala AFF bagi edisi 2010, dimana ketika  itu beliau bertindak sebagai penolong kepada ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal.

Pada masa yang sama, Cheng Hoe turut mengulas mengenai pertembungan akhir menyaksikan Vietnam yang mara kepentas akhir hasil kemenangan aggregat 4-2 menewaskan Flipina bakal menjadi halangan terakhir buat Harimau Malaya untuk mendakap trofi kejuaraan.

“Sejak dari awal saya bagitahu Vietnam bakal menjadi pencabar kejuaraan terkuat kerena mereka jelas mempamerkan satu kualiti yang baik dalam 3-4 tahun kebelakangan ini.

“Mereka kini di satu tahap yang lain malah mereka telah mengesahkan tiket ke Piala Asia. Tentu saja kita menanti penuh bersemangat untuk bertemu mereka sekali lagi bagi melangsaikan kekecewaan tewas 2-0 di My Dinh bulan lepas.

Dalam aksi peringkat kumpulan, skuad kebangsaan tunduk dengan keputusan 2-0 di Stadium Nasional My Dinh sekaligus menjadikan Vietnam merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya menundukkan Harimau Malaya bagi edisi kali ini.

 

Foto : Facebook FAM

Sumber : Fox Sports