Connect with:




Menjelang pertembungan sengit bertemu Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini, benteng pertahanan Harimau Malaya bertekad enggan membiarkan lawan membolosi pintu gol.

Barisan penyerang turut menggalas misi sama yang berazam mencari bekalan selesa untuk dibawa ke gelanggang lawan pada aksi timbale balik separuh akhir kedua di Bangkok pada 5 Disember nanti.

Tidak menafikan Thailand antara pasukan terkuat pada edisi kali ini, pemain pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Radzak tetap optimis barisan negara tidak gentar untuk bertemu skuad juara bertahan itu.

“Pusingan seterusnya akan mengambil kira gol di tempat lawan. Edisi 2012, kita seri 1-1 bertemu mereka (Thailand) di gelanggang sendiri dan tewas di tempat lawan dengan sokongan padu penyokong mereka.

“Bagi saya dari situ kita boleh ambil pengajaran untuk mencari kemenangan selain memastikan gawang kita tidak dibolosi Sabtu ini,” ujarnya ketika ditemui semasa sesi latihan skuad kebangsaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.

Pada masa yang sama, pemain tengah, Syamer Kutty Abba menyifatkan pertembungan dengan Thailand langsung tiada kena mengena dengan ‘badi’.

Ujarnya, peluang beraksi di laman sendiri harus dipergunakan sebaik mungkin dalam memburu bekalan selesa bagi menghadapi laluan lebih getir di Bangkok pada separuh akhir kedua.

“Dalam kepala saya tiada soal badi kerana kita telah berkerja keras dari awal saingan Piala AFF lagi dan kita ada kekuatan kita sendiri cuma kita perlu mengorak langkah untuk mara lebih jauh,” jelasnya.

 

Foto : Facebook Football Association of Malaysia (Official)

Sumber : Kosmo !