Connect with:




Meskipun sekadar meraih keputusan seri 2-2, kelebihan jaringan di tempat lawan menjadikan Harimau Malaya lebih layak untuk melangkah ke pentas final Piala AFF Suzuki 2018 apabila berjaya melepasi misi getir mengatasi juara bertahan Thailand di Stadium Nasional Rajamangala semalam.

Kem Malaysia resah seketika apabila tonggak pertahanan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak mengalami kecederaan seawal minit ke-15 sebelum terpaksa digantikan pemain pertahanan muda, Muhammad Irfan Zakarai.

Thailand bagaimanapun terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-23 berpunca dari kelam kabut di hadapan pintu gol yang menyaksikan Irfan tertolak bola ke gawang sendiri empat minit selepas beliau dimasukkan.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe enggan membiarkan Thailand berpesta lama, apabila ‘ubi muda’, Muhammad Syahmi Safari melepaskan rembatan luar kotak penalti cantik ke penjuru atas sebelah kiri pintu gol lawan pada minit ke-28 bagi mengikat kedudukan 1-1 sama dan meletakkan Malaysia mendahului menerusi kelebihan gol ditempat lawan.

Tuan rumah tampak enggan mengalah apabila melancarkan serangan bertali arus ke arah pintu gol skuad kebangsaan sebelum berjaya memperoleh gol kedua menerusi Pansa Hemviboon pada minit ke-63 berpunca dari satu sepakan percuma.

Menyedari hanya satu gol diperlukan, Cheng Hoe lantas membuat pertukaran dengan mengeluarkan Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia 2018, Muhammad Safawi Rasid dan memasukkan pemain sayap, Muhammad Akhyar Abdul Rashid bagi memburu gol penting.

Kemasukan Akhyar sedikit sebanyak merubah rentak serangan Harimau Malaya yang dilihat lebih kreatif mengatur serangan ke pintu gol lawan.

Berpunca dari hantaran lerek menarik yang dilakukan Mohamed Syamer Kutty Abba serta disusuli ketenangan Norshahrul Idlan Talaha yang tidak mensia-siakan peluang terhidang dengan satu rembatan cantik memastikan, Malaysia sekali lagi mengikat kedudukan kepada 2-2.

Harimau Malaya bagaimanapun terpaksa mengharungi detik penuh mendebarkan apabila pasukan Thailand dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-94 setelah penjaring gol pertama, Syahmi dipersalahkan kerana mengangkat tangan ke udara sewaktu cuba menghalang hantaran pemain lawan di dalam kotak penalti

Kesilapan itu menyebabkan Syahmi dilayangkan kad merah sebaik menerima kad kuning kedua perlawanan dan bakal terlepas aksi pusingan akhir pertama.

Mimpi ngeri pastinya buat penyerang sensasi Thailand, Adisak Kraison juga merupakan penjaring terbanyak setakat ini yang memilih untuk menyepak bola ke ‘pluto’ dan menghantar Harimau Malaya ke pentas final.

Jika dilihat kepada edisi 2010 sewaktu Malaysia dinobat selaku juara, skrip hampir sama sedang dimainkan ketika ini dimana pada waktu itu di pusingan pertama, Malaysia tunduk 5-1 di tangan Indonesia dalam peringkat kumpulan

Sebelum kebangkitan demi kebangkitan dipamerkan skuad yang dibimbing Datuk K, Rajagopal pada ketika itu hingga menemukan balik Harimau Malaya dan Sang Garuda di pentas final 2010 yang menyaksikan Malaysia muncul juara dengan mengetepikan Indonesia di hadapan penyokong mereka menerusi keputusan aggregat 4-2.

Atas kertas, Vietnam boleh dikatakan telah sebelah kaki ke final hasil kemenangan 2-1 di tempat lawan bagi aksi pertama separuh akhir kedua di Stadium Panaad tapi harus kita ingat, ini adalah bola sepak, sedangkan sang Gajah Perang tersungkur dek semangat juang Harimau Malaya, tidak mustahil Filipina mahu mengambil aura sama dengan menyingkirkan Vietnam di Stadium My Dinh nanti.

Namun jika Vietnam meneruskan momentum cemerlang mereka dan berjaya mengetepikan Filipina maka skrip 2010 akan berulang dan yang tinggal hanya penamatnya sahaja yang bakal ditentukan pada 11 dan 15 Disember ini.

Terima kasih para pemain kerana bermain sepenuh hati dan membawa Jalur Gemilang ke pentas final buat kali keempat dan buat ‘ekor’ Harimau Malaya yang setia berdiri belakang pasukan terima kasih kerana terus yakin, kita jumpa di Bukit Jalil.

 

Foto : Facebook FAM