Safee Sali menjaringkan gol kedua

 

Malaysia menghidupkan kembali peluang ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2012 selepas membelasah Laos 4-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu.

Pengendali kebangsaan, Datuk K.Rajagobal membuat beberapa pertukaran dalam pasukan selepas tewas 0-3 kepada Singapura tempoh hari. Antara pemain yang digugurkan dari kesebelasan utama ialah Khairul Fahmi Che Mat, Bunyamin Omar, Khyril Muhymeen dan Amar Rohidan.

Pemain baru yang diberi kepercayaan Rajagobal pula ialah Farizal Marlias, Wan Zack Haikal, Shakir Shaari dan Mahali Jasuli. Nyata percaturan ini berjaya mengubah permainan Harimau Malaya selepas banyak peluang terhasil namun penyudah yang sempurna membantutkan hasrat Malaysia untuk menjaringkan gol.

Shakir Shaari tidak menghampakan

 

Hanya pada minit ke-15, Malaysia berjaya membuka jaringan menerusi sepakan percuma cantik ketua pasukan, Safiq Rahim. Kegembiraan Malaysia tidak bertahan lama selepas Laos berjaya menyamakan kedudukan menerusi Khonesavanh Sihavong pada minit ke-39 selepas sepakannya terkena pemain pertahanan negara sebelum menerjah dalam gawang Malaysia.

Bersambung babak kedua, Malaysia kembali dihadapan dengan kali ini penyerang sensasi Safee Sali berjaya menyempurnakan hantaran cantik Wan Zack Haikal pada minit ke-67. Wan Zack turut menambah derita Laos dengan menjaringkan gol pada minit ke-75 sebelum Khyril Muhymeen yang masuk menggantikan Safee melengkapkan malam derita anak buah Kokichi Kimura pada minit ke-79.

Wan Zack Haikal menjaringkan gol ketiga Malaysia

 

Malaysia bagaimanapun masih berada di tangga ketiga kumpulan dengan Indonesia berada ditangga teratas mengumpul 4 mata selepas menewaskan Singapura 1-0. Harimau Malaya akan turun menentang Indonesia pada Sabtu ini di Bukit Jalil sementara Laos akan menentang Singapura di Stadium Shah Alam.