Hari terakhir acara memanah yang menawarkan empat emas berjaya di bolot kesemuanya oleh pemanah Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali gus mengekalkan kejuaraan keseluruhan dalam acara memanah dalam edisi SUKIPT kali ini.

Ketua jurulatih UPM, Faiz Mokhtar Lopi yang melatih pasukan ini sudah 11 tahun berpendapat meskipun mereka berjaya kekalkan kejuaraan, namun ia kurang gembira kerana dari segi pungutan pingat emas sedikit menurun.

“Dua tahun lepas kami berjaya meraih 8 emas dan bagi saya, tahun ini kami lambat panas antara punca utama UPM terlepas emas di awal permulaan acara ini berlangsung.

“Saya juga melihat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) antara yang memberi saingan sengit kepada UPM,” katanya.

Tambahnya lagi, edisi SUKIPT kali ini beliau dapat melihat banyak pesaing baru dalam sukan memanah terutama dari Koleh Komuniti dan Politeknik Malaysia. Ini adalah satu perkembangan yang bagus dan persaingan yang sihat dalam sukan ini.

Pasukan memanah UPM pernah meraih 6 emas, 4 perak dan 3 gangsa dengan jumlah keseluruhan 13 pingat.

Tempat kedua diraih Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hanya dibezakan 1 emas sahaja apabila mereka berjaya meraih 5 emas, 3 perak dan 4 gangsa dengan jumlah keseluruhan 12 pingat.