Connect with:




Pada 19 April 1986 iaitu 33 tahun dahulu, Sukan Malaysia (SUKMA) buat pertama kalinya diadakan di Kuala Lumpur, dirasmikan oleh DYMM Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah. Peristiwa bersejarah ini disifatkan sebagai Olimpik mini yang berlangsung dalam suasana yang penuh gilang gemilang di Stadium Merdeka.

SUKMA dikonsepkan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dato Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1983. SUKMA diadakan bertujuan untuk mempertingkatkan mutu sukan, melahirkan bakat-bakat baru, menggalakkan penyertaan atlet, mempertingkatkan prestasi pegawai, menggalakan pembinaan kemudahan-kemudahan sukan yang baharu serta menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada dan memupuk semangat integrasi nasional dalam masyarakat Malaysia.

Logo SUKMA

Pada awalnya, SUKMA dicadangkan diadakan pada 15 Ogos hingga 2 September 1985 yang hanya mempunyai enam acara sahaja seperti tenis, ping pong, lumba basikal, olahraga dan bola tampar. Namun, terdapat cadangan baru untuk melibatkan lebih banyak sukan oleh orang awam dan cadangan tersebut diterima oleh Majlis Sukan Negara (MSN). MSN memutuskan untuk menganjurkan temasya SUKMA setiap dua tahun sekali bermula 1986 dan berselang dengan Sukan Asia Tenggara.

Ketika majlis perasmian SUKMA pertama, Jagut Pecut Asia 1982, Rabuan Pit telah diberi penghormatan membawa dan menyalakan obor kejohanan tersebut. Selain itu, pertunjukan oleh lima anggota Unit Payung Terjun Komando 869, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan membawa bendera SUKMA bagi menandakan bermulanya sukan berprestij dan terbesar di Malaysia.

SUKMA pertama itu berlansung dari 19 hingga 26 April 1986 yang disertai oleh 3849 atlet dari 13 negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Manakala SUKMA yang ketiga pada 1990 diadakan di Sarawak dan kejohanan tersebut merupakan temasya pertama di Sarawak dan kali pertama di Malaysia Timur.

SUKMA edisi pertama menyaksikan tuan rumah, Kuala Lumpur mengguli kejohanan tersebut dengan kutipan pingat 36 emas, 32 perak dan 22 gangsa seterusnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan edisi sulung SUKMA tersebut.

Pada 1996, Pahang telah menjadi tuan rumah SUKMA ke-6 turut menyaksikan kemunculan pertama buat Brunei, Labuan dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) manakala ATM tidak lagi menyertai kejohanan tersebut. Northern Territory Australia hanya menyertai SUKMA ke-9 di Sabah pada 2002, manakala SUKMA ke-10 pada 2004 di Negeri Sembilan, MSSM dan MASUM telah berhenti menyertainya.

SUKMA ke-11 pada 2006 di Kedah, Kuala Lumpur telah bergabung dengan Labuan untuk membentuk Wilayah Persekutuan berikutan penggabungan pentadbiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuah serta kejohanan pada edisi tersebut merupakan penyertaan terakhir PDRM.

Pada 27 Mei 2010, MSN pernah memutuskan untuk menganjurkan SUKMA setiap tahun bermula 2011 dalam usaha membangunkan dan mempromsikan semua sukan di Malaysia. Temasya sukan tahun ganjil tersebut diadakan di Kuala Lumpur yang dianjurkan oleh MSN dan hanya melibatkan acara sukan pilihan sahaja. Bagi tahun genap pula, kejohanan tersebut akan dilangsungkan di negeri-negeri anggota dan melibatkan sukan teras sahaja.

Walau bagaimanapun, temasya sukan tahun ganjil terpaksa dibatalkan oleh MSN pada 2015 kerana jadual sukan negeri begitu padat dan kos yang tinggi yang perlu dikeluarkan oleh MSN untuk membiayai kontinjen SUKMA setiap tahun. Oleh itu, SUKMA hanya berlangsung setiap dua tahun sekali di tahun yang genap seperti kita saksikan sekarang.

Juara Kesekuruhan SUKMA ke-18 Perak, Terengganu
Foto: PenyuSukandotcom

Pada 2020, SUKMA ke-19 akan diadakan di Johor yang sedang giat mempersiapkan kesemua venue SUKMA 2020 yang bakal berlangsung dan dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Jun ini. SUKMA ke-18 yang diadakan di Perak menyaksikan Terangganu muncul juara keseluruhan dengan kutipan pingat 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa manakala tuan rumah Perak di tempat ke-5.

Untuk rekod keseluruhan punggutan pingat sepanjang masa SUKMA, Selangor yang paling berjaya apabila berjaya berada ditempat teratas dalam kutipan pingat sejak pertama kali dianjurkan iaitu sebanyak 800 emas, 787 perak dan 887 gangsa dengan jumlah keseluruhan kutipan pingat adalah 2474. – HIDS

Foto: Perpustakaan Negara Malaysia