Mampukah T-Team mengulangi pencapaian MPPJ FC yang layak ke pentas akhir Piala Malaysia pada tahun 2003 dulu? Sebagai pasukan yang berstatus kelab, sudah tentu T-Team ingin mencatat sejarah sebagaimana yang MPPJ lakukan satu masa dahulu.

Tetapi, skrip T-Team cukup berbeza. Mereka terpaksa tunduk 2-4 kepada Negeri Sembilan di peringkat separuh akhir pertama di gelanggang sendiri tempohari. Jadi, peluang untuk merealisasikannya amat tipis tapi masih berkemungkinan sekiranya mereka mampu menang tiga gol tanpa balas.

Yunus Alif, jurulatih T-Team turut mengakui agak sukar untuk pasukannya layak ke final jika dilihat pada jumlah jaringan lawannya.

Beliau yang agak terkilan kerana pasukannya gagal memanfaatkan aksi di tempat sendiri juga menyatakan bahawa Negeri Sembilan telah membawa pulang bekalan yang agak selesa ke tempat sendiri.

Walaubagaimanapun, Yunus masih berharap pasukannya mampu bangkit walaupun terpaksa beraksi di tempat lawan sambil membayangkan bakal menukar penjaga golnya, Mohd Zairi Hafiezi dengan memasukkan Mohd Jibrail sebagai pengganti.

Sementara itu di kem Negeri Sembilan, peluang beraksi di laman sendiri tidak akan disia-siakan para pemain seterusnya merealisasikan impian beraksi di pentas akhir Piala Malaysia untuk kali ketiga berturut-turut.

Tegas jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah, pemain-pemain Negeri Sembilan perlu kekal fokus, bermain dengan penuh disiplin dan tidak mensia-siakan segala peluang yang terhidang.

Kemenangan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah tempohari menurut Azraai, berpunca dari ruang-ruang yang terbuka ketika T-Team melancarkan serangan ke kubu Negeri Sembilan. Segala ruang dan peluang telah dimanfaatkan jentera serangan Negeri Sembilan melalui serangan pantas.

“Untuk Sabtu ini, dengan beraksi di tempat sendiri, sudah tentu kita takkan sia-siakan peluang kita untuk ke final.

“Kita akan main ikut perancangan kita walaupun T-Team akan cuba berhabis-habisan untuk cari peluang ke final,” ulas Azraai lagi.

Perlawanan akan berlangsung pada hari Sabtu ini, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi yang boleh menampung sekitar  40,000 penonton. Samaada T-Team mampu bangkit atau tidak, mereka sebenarnya telah mecatatkan rekod tersendiri dengan mampu layak ke separuh akhir Piala Malaysia.