Connect with:




Cadangan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yang ingin melantik jurulatih luar yang baharu dalam acara berkenaan kebanyakannya disangkal pelbagai pihak.

Salah seorang yang kurang bersetuju adalah jurulatih pecut, Mohd Poad Md Kassim yang berjaya melahirkan raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

Tegasnya, selain kekangan kos perbelanjaan yang tinggi, seharusnya badan induk tersebut perlu mengambil iktibar atas apa yang pernah berlaku dan belajar dari pengalaman selepas beberapa jurulatih luar yang dilantik tidak dapat melahirkan ramai atlet yang berkaliber.

Malahan dia turut mengharapkan cadangan menghantar atlet ke Amerika Syarikat dan berlatih bersama atlet disana dapat dipertimbangkan KOM secepat mungkin.

Hal ini sekaligus dapat memberi perubahan positif ke dalam prestasi mereka untuk mempamerkan aksi yang lebih berkualiti di masa hadapan.

Katanya, jurulatih pengiring juga boleh mempelajari ilmu di sana dan kembali berkongsi ilmu itu bersama jurulatih tempatan yang lain.

Selain dapat mencedok pengalaman dari atlet yang lebih baik, ianya juga mampu merangsang mereka untuk lebih berdaya saing.

“Cukuplah setahun kita perlu berada di sana. Mengikut perkiraan gaji yang diperuntukkan kepada jurulatih AS itu pasti tinggi dan jika kontraknya selama lima tahun, jumlah itu lebih daripada cukup untuk perbelanjaan atlet pecut negara.

“Saya harap MSN (Majlis Sukan Negara) dan KOM mempertimbangkan perkara ini kerana ia lebih berbaloi,” katanya.

 

“Daripada membawa jurulatih luar, kita boleh mengambil pendekatan positif sekiranya menghantar atlet ke sana. Antaranya profesionalisme. Atlet dapat mengetahui bagaimana atlet profesional berlatih, daripada pelbagai sudut dan aspek.

“Ada pihak yang sanggup membantu jika atlet negara dihantar ke AS, jadi kenapa tidak menggunakan peluang itu,” katanya.

Terdahulu, Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim berkata bekas olahragawan AS, David Patrick, 58,  yang pernah mencapai era kegemilangannya pada penghujung era 1980 hingga awal 1990-an dalam acara lari lompat pagar dan pecut merupakan calon sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Jurulatih Olahraga negara yang baharu.

Foto: Stadium Astro