Bjorn Hansen bersama Mekonomen Sailing Team berjaya menguasai cuaca monson yang ekstrem di Pulau Duyong, Kuala Terengganu untuk muncul pendahulu di akhir hari pertama kelayakan Piala Monsun 2011.

Kemenangan ke atas Jesper Radich (Adrian Lee & Partners), pendahulu WMRT, Ian Williams (Team GAC Pindar) dan William Tiller (Full Metal Jacket) memberikan mata 3-0 untuk Hansen.

Mengikuti rapat di belakang pelayar Sweden itu ialah Johnie Berntsson (Berntsson Racing Team) dan Peter Gilmour (YANMAR Racing Team) dengan masing-masing mencatatkan dua kemenangan. Turut sama menamatkan hari pertama dengan dua kemenangan ialah Tiller.

Pandahulu WMRT Williams gagal menemui sentuhan kemenangan dan menamatkan saingan hari pertama dengan kekalahan dalam dua perlawanannya. Turut gagal mencatatkan sebarang kemenangan hari ini ialah pelayar Malaysia, Jeremy Koo (Abdullah Chan/KRT) yang tewas dalam ketiga-tiga perlawanannya menentang Gilmour, Torvar Mirsky (The Wave Muscat) dan Phil Robertson (WAKA Racing Team).

Keadaan cuaca monsun yang ekstrem pada edisi kali ini menyaksikan pusingan kelayakan hari ini ditangguhkan sebanyak empat kali apabila hujan turun terlalu lebat serta angin kencang selaju 40 knot menimbulkan kesukaran untuk mengendalikan bot F36 itu.