Pasukan hoki wanita negara perlu memastikan setiap pemain beraksi dengan lebih cemerlang serta mempunyai taktikal yang mantap untuk bersaing di peringkat antarabangsa seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik.

Langkah yang jitu ialah Malaysian Tigress perlu mengadakan banyak perlawanan persahabatan menentang pasukan senior negara-negara dalam kelompok 15 terbaik dunia yang sering beraksi di pentas berprestij antarabangsa.

Hanis Nadiah Onn, pemain posisi penyerang Malaysian Tigress menyatakan, dia tidak akan sesekali menolak tawaran daripada mana-mana kelab di Eropah dan bersedia menjalankan khidmatnya jika ada yang berminat.

Tambahnya, beraksi bersama pemain dari kelab-kelab di luar negara merupakan impiannya dan setiap pemain.

“Ini impian setiap pemain untuk bermain dengan kelab-kelab di luar negara, apatah lagi bersama pasukan yang berpangkalan di Eropah seperti Belanda terutamanya,”katanya.

Pemain posisi penyerang itu dikatakan menarik perhatian beberapa kelab di Belanda ketika beraksi di perlawanan persahabatan pada siri jelajah Eropah baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, dia gagal mempamerkan kelas tersendiri pada Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WWHL) di Brussels, Belgium yang berakhir awal pagi semalam.

Menurut Hanis, 21, dia masih belum berpuas hati dengan prestasi dirinya dan akan terus belajar untuk meningkatkan corak permainan bagi memastikan dia mampu menjadi pemain berkelas dunia.

Selain itu, bintang Skuad Hoki Wanita Terengganu itu mendapat Anugerah Pemain Harapan Asia daripada Persekutuan Hoki Asia tahun ini.