Hanafiah Dollah melihat peluang beraksi bersama skuad sepak takraw negara bagi perlawanan di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) pada 19 hingga 30 Ogos ini.

Pemain apit kanan (perejam) kebangsaan itu, bertekad untuk merebut kembali tempatnya setelah mengalami kecederaan di lutut kanannya selama hampir setahun.

Menurutnya, kecederaannya sudah pulih sepenuhnya dan berazam menyarung semula jersi kebangsaan bagi menempuh cabaran di Sukan SEA tahun tidak lama lagi.

Pada ketika ini, Hanafiah masih mencari rentak permainan dan berusaha untuk menunjukkan prestasi yang terbaik.

“Pada masa ini, saya perlu perbaiki penerimaan bola pertama dan memperkemas teknik rejaman bagi menyaingi perejam lain,” katanya.

Pada Sukan SEA 2015 yang lepas, Skuad takraw negara berjaya meraih pingat emas dalam acara regu di Dewan Ekspo Singapura.

Acara berkenaan bagaimanapun tidak disertai Thailand yang juga merupakan juara bertahan sejak lapan tahun lalu.