Connect with:




Dua ikon besar dalam sukan permotoran, Lewis Hamilton dan Valentino Rossi bertukar jentera mereka dalam satu penampilan khad di Valencia pada Rabu.

Hamilton, juara dunia Formula 1 menunggang jentera M1 yang digunakan Rossi di perlumbaan terakhir MotoGP bulan lalu. Rossi pula yang sebelum ini pernah cuba memandu jentera Ferari sebanyak 6 kali sekali lagi mencuba jentera F1 – kali ini menggunakan jentera yang digunakan Hamilton pada 2017.

“Saya pernah memandu jentera F1 sebelum ini bagaimanapun seperti semua tahu, setiap tahun pasti akan ada banyak perubahan. Kali ini, memandu jentera Mercedes-AMG Petronas Motorsport, saya sememangnya cukup kagum dengan prestasi jentera ini” kata Rossi.

Aksi Hamilton dengan jentera MotoGP pula adalah kedua yang pernah dilakukan pemandu F1 selepas Fernando Alonso melakukannya dengan jentera Honda pada 2015.

Tunggangan Hamilton juga telah mendapat perhatian dari Pengarah urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis.

“Bukan mudah untuk mengendalikan jentera M1 tetapi Lewis sememangnya seorang yang berbakat besar. Satu kebanggaan untuk kami di Yamaha Racing, menyaksikan seorang juara dunia menunggang jentera kami” kata Jarvis.

Acara yang dianjurkan oleh syarikat minuman tenaga terkenal, Monster itu bagaimanapun tidak mencatatkan sebarang catatan masa yang dihasilkan kedua-dua bintang dunia tersebut.