Kemelut dalaman bolasepak Malaysia berterusan apabila Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), baru-baru ini.

Jawatan yang ditinggalkan oleh TMJ merupakan jawatan ‘paling panas’ kerana sebelum ini ramai calon yang ingin bertanding untuk menjawat jawatan No.1 dalam bolasepak Malaysia.

Namun, individu terdekat dengan TMJ di FAM sebelum ini, Datuk Hamidin Mohd Amin dikatakan mempunyai peluang untuk menerajui FAM dan sekali gus menyambung legasi yang ditinggalkan TMJ.

Hamidin yang merupakan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mempunyai pengalaman dan hubungan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa dan ini menjadikan ‘modal’ terbaik buat beliau untuk diangkat menjadi presiden baru badan induk berkenaan.

Perkara itu dinyatakan oleh bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Ibrahim Saad yang menegaskan Hamidin mampu melaksanakan tanggungjawab yang ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim apatah lagi beliau sudah masak dengan sukan nombor satu negara itu.

“Secara peribadi, saya sokong dengan pengumuman yang dibuat Tunku Ismail. Bagi saya, Hamidin calon paling layak kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam bolasepak.

“Ketika saya menjadi Naib Presiden FAM pada awal 90-an, beliau sudah berada dalam FAS. Begitu juga ketika saya menjadi Setiausaha Agung, beliau masih lagi menabur jasa di FAS.

“Beliau sudah masak dan faham dengan bola sepak Malaysia. Beliau juga boleh bergaul dengan semua peringkat masyarakat. Saya tidak fikir ada orang yang tidak mengenali beliau.

“Beliau juga mempunyai hubungan yang bagus tidak kira di peringkat kebangsaan, serantau atau antarabangsa kerana selaku Setiausaha Agung FAM, sudah banyak mesyuarat atau perjumpaan yang beliau hadiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelas beliau lagi, untuk menduduku jawatan nombor satu badan induk kebangsaan itu, kriteria berkenaan amat penting kerana ia mampu menyelesaikan masalah yang mungkin timbul pada masa akan datang.

“Itulah sebabnya beliau antara calon paling layak untuk menjadi Presiden. Walaubagaimanapun, kita serahkan kepada Exco dan perwakilan negeri untuk menentukan siapa yang akan menjawat jawatan Presiden baru nanti,” katanya.

Sumber : Harian Metro

Foto Kredit : fourthofficial(dot)com