Penyerang import Kedah, Hamidan Mohammed dan Nwoha Onyekachi (Kelantan) akhirnya menjaringkan gol buat pasukan masing-masing dalam aksi suku akhir kedua Piala FA 2012 seterusnya membantu pasukan mereka layak ke separuh akhir Piala FA yang dijadualkan berlangsung pada 21 April dan 1 Mei 2012 nanti.

Hamidan muncul wira buat Kedah apabila menjaringkan dua gol membantu pasukannya menewaskan T-Team 2-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Golnya pada minit ke-80 hasil tandukkan apabila menerima hantaran silang cantik dari Safi Abdelfatah.

Mungkin menyedari dirinya kini dalam zon penyingkiran dari pasukan menjelang April depan, Hamidan menjaringkan gol pertama buat dirinya pada minit ke-64 apabila melepaskan rembatan menewaskan Syamsuri Mustafa hasil hantaran jauh Safi Abdelfatah.

Tidak menunggu lama, T-Team kembali menyamakan kedudukan menerusi pemain tengah, Azrul Hazran empat minit kemudian sebelum jaringan kedua Hamidan muncul 10 minit menuju masa penamat. Kedah layak ke separuh akhir dengan agregat 2-1.

Sementara itu, di Stadium JCorp, Pasir Gudang, pasukan dari Liga Perdana, Sime Darby mencipta sejarah buat kelab mereka apabila melangkah ke separuh akhir dengan menewaskan pasukan tuan rumah, Johor FC dengan agregat besar 5-3 setelah menang 2-1. Dua gol Sime Darby dijaringkan oleh penyerang import mereka, Patrick Wleh dan gol tunggal tuan rumah dijaringkan Ahmad Fauzi Shaari.

Terengganu mengesahkan diri ke peringkat separuh akhir apabila terikat tanpa jaringan dengan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura. Membawa bekalan satu gol ketika aksi pertama di Kuala Terengganu tempohari, Terengganu berjaya mengikat Sang Singa di kandang mereka sendiri walaupun diasak bertubi-tubi lawannya itu. Terdesak mencari gol, LionsXII memasukkan kapten, Shahril Ishak pada minit ke-57 namun masih gagal menembusi gawang Sang Penyu.

Kelantan pula terus selesa di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV apabila menang 2-0 ke atas pasukan Liga FAM, KL SPA FC dan layak ke separuh akhir dengan agregat besar 5-0. Dua gol The RedWarrior dijaringkan oleh Norfarhan Mohamad pada minit ke-18 dan penyerang import, Nwoha Onyekachi pada minit ke-72. Ini merupakan gol pertama Nwoha buat Kelantan di saat pengurusan pasukan mencari penggantinya menjelang April nanti.

Separuh akhir Piala FA akan menemukan juara bertahan, Terengganu menentang Sime Darby FC sementara satu lagi aksi separuh akhir akan menemukan finalis Piala FA tahun lepas, Kelantan menentang Kedah, bekas juara berganda Piala FA tahun 2007 dan 2008. Separuh akhir dijadualkan pada 21 April dan 1 Mei 2012.