Halep, Serik Naik Pesawat Mengerikan

Pemain tenis nombor dua dunia, Simona Halep mengalami pengalaman menakutkan dalam perjalanan untuk menyertai kejohanan Masters Cincinnati dalam Jelajah WTA minggu ini.

Difahamkan dia sedikit trauma selepas menggunakan pesawat peribadi mengerikan serta mengharungi selama enam jam perjalanan darat.

Pemain Romania berusia 25 tahun itu tewas pada separuh akhir WTA Toronto dan dicadangkan menaiki pesawat peribadi buat kali pertama untuk berkunjung ke Cincinnati.

Menurutnya, dia berasa takut apabila melihat pesawat yang bersaiz kecil buat kali pertamanya.

“Ia terlalu kecil. Kami perlu singgah di Buffalo untuk pemeriksaan kastam AS.

“Keadaan saya masa itu pucat lesi dan bagaikan tidak boleh bernafas. Saya kata, ‘Cukuplah, saya tidak tahan lagi.’ Pesawat itu terlalu laju. Saya mahu selamat mendarat.”

Berikutan itu, Halep dan jurulatihnya Darren Cahill menyewa kereta dan bergilir-gilir memandu selama enam jam dari Buffalo ke Cincinnati.

Halep memandu selama dua jam dan selebihnya menikmati pemandangan sekeliling.

“Kebanyakannya hanyalah pokok yang saya lihat tetapi pemandangan memang sangat cantik,” katanya.

Ditanya sekiranya dia masih mahu cuba untuk menaiki pesawat persendirian, Halep berkata, “Pesawat yang lebih besar, ya. Kalau kecil, tidak. Tidak lagi.

Foto kredit:  BNP Paribas Open Website