Pemain hoki Argentina, Gonzalo Peillat memberi amaran bahawa tiada sesiapa terutama pemain Malaysia yang mampu menghalang beliau daripada menjaringkan gol dalam kempen Piala Sultan Azlan Shah.

Walaupun Peillat mendabik dada, namun beliau berhak berkata demikian kerana statistik menunjukkan jumlah gol yang dijaringkannya dalam kejohanan besar sebelum ini.

Rekod Peillat cukup mengagumkan. Dia menjaringkan 10 gol untuk muncul penjaring terbanyak dalam Piala Dunia 2014  ketika membantu Argentina memenangi gangsa. Pencapaian terbaiknya adalah membantu negaranya memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2016 dan sekali lagi muncul penjaring terbanyak dengan 11 gol.

Mesin gol dari Argentina ini melaungkan amaran untuk menjadikan Malaysia mangsa seterusnya dengan mencipta hatrik sekali lagi setelah melakukannya ketika membantu Argentina menewaskan India dan Ireland. Beliau kini telah mengumpul enam gol.

“Saya kenal beberapa pemain Malaysia kerana pernah bermain unutk THT (Pasukan Hoki Terengganu) dalam kempen Liga Hoki Malaysia.

“Semua maklumat berkaitan pasukan Malaysia akan saya kongsi dengan pasukan kami.

“Jika saya dapat melakukan hatrik ketika menentang Malaysia, ini pasti sesuatu yang mengujakan buat saya,”katanya.

Dalam persaingan TNB-MHL 2018, Peillat yang beraksi di posisi pertahanan bersama THT muncul sebagai penjaring terbanyak de­ngan 16 gol.

Antara pemain skuad negara yang menjadi rakan sepasukan Peillat dalam THT ialah penye­rang Faizal Saari, pemain tengah Fitri Saari dan penjaga gol Hafizuddin Othman.

Foto Kredit : zimbio(dot)com