Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengukuhkan cengkamannya dalam saingan Liga Perdana apabila kekal di takhta dengan 18 mata, dua mata mengatasi Pahang di kedudukan kedua liga. Dalam pada itu, Harimau Muda B sekali lagi gagal mempertahankan kelebihan mendahului perlawanan apabila tewas dalam aksi ketujuh liga semalam.

Peneraju liga, ATM yang berkunjung ke Stadium Jcorp, Pasir Gudang, berjaya membawa pulang mata penuh apabila menang bergaya 4-1 ke atas Johor. Hatrik Hairuddin Omar sekali lagi menjulang ATM dengan menjaringkan gol pada minit ke-33, 65 dan 75. Satu lagi gol ATM adalah menerusi jaringan Bruno Martelotto di penghujung perlawanan. Gol saguhati tuan rumah dihasilkan oleh Hamzani Omar minit ke-49.

Aksi di Stadium MP Selayang menyaksikan Pos Malaysia menang tipis 2-1 ke atas Harimau Muda B. Walaupun mendahului perlawanan hasil jaringan Mohd Hadim Azman pada minit ke-30, Harimau Muda gagal bertahan lama. Pos Malaysia memperolehi dua gol menerusi jaringan Mohd Hafizi Amiruddin (58’) dan Mohd Hanifuddin Abd Rahman (81’) seterusnya memberikan mata penuh untuk mereka.

Sementara itu, jaringan tunggal pemain tengah import, Boris Kochkin memastikan Pahang membawa pulang tiga mata berharga apabila menang tipis 1-0 ke atas Universiti Sains Malaysia (USM FC) di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang. Kekalahan ini adalah yang pertama USM di laman sendiri dan jaringan yang diperolehi pada minit ke-73 itu sudah cukup untuk mencalarkan rekod cemerlang USM di laman sendiri.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, PDRM tewas mengejut 3-5 kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB FC). Gol tuan rumah dijaringkan oleh Mohd Afif Amiruddin (26’ dan 51’) dan Fazli Azrin (72’), manakala pelawat mendapat gol menerusi Azmin Sarmin (40’ dan 42’), Dalibor Dragic (63’), Romdhizat Jamian (80’) dan Fokim Fon Fondo (83’). PDRM kecundang buat kali pertama setelah tujuh aksi liga setakat ini.

NS Betaria meraih kemenangan sulung di laman sendiri mengatasi Perlis 2-1 di Stadium Hang Tuah, Melaka. Singa Utara kini sudah tewas kali ketiga berturut-turut. NS Betaria selesa memimpin perlawanan dengan kelebihan dua gol sebelum Perlis memperolehi gol saguhati tiga minit menuju wisel penamat.

Di Stadium Sultan Ibrahim, Muar, hajat pasukan pelawat, Sime Darby FC untuk mengutip mata penuh terhalang apabila diikat seri tanpa jaringan oleh tuan rumah, Majlis Perbandaran Muar (MP Muar). Walaupun cemerlang di laman sendiri setakat ini, namun rekod Sime Darby di kandang lawan dilihat sedikit goyah.