Hafizh Syahrin bersama krew pasukan

 

Pelumba Petronas Raceline Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah yang mendapat tiket wildcard kategori Moto2 pada GP Malaysia  mensasarkan untuk berada pada kelompok 15 terbaik pada perlumbaan di Litar Sepang hujung minggu ini.

Ini merupakan tahun kedua Hafizh beraksi selepas penyertaan sulungnya pada tahun 2011 di Sepang menyaksikannya menamatkan perlumbaan  di tangga 20 dari 38 pelumba.

“Saya telah melakukan persediaan rapi menjelang perlumbaan Ahad nanti. Krew pasukan juga berusaha untuk memastikan jentera saya berada pada prestasi terbaik. Pengalaman beraksi di Sepanyol juga sedikit sebanyak membantu saya ” kata Hafizh yang ditemui pada majlis pelancaran jentera FTR MOTO2; jentera yang akan digunakannya pada perlumbaan nanti.

Jentera tersebut juga merupakan jentera yang sama digunakan Hafizh dalam siri perlumbaan kejuaraan CEV Buckler Sepanyol tahun ini. Hafizh nyata gembira dengan prestasi FTR MOTO2 ini lebih-lebih beberapa ujian masa yang dijalankannya berjaya mencatatkan masa yang agak baik.

“Jentera yang digunakan kali ini tidak sama dengan jentera Moriwaki tahun lepas. Kali ini saya rasa lebih serasi dan lebih pantas. Jadi saya harap kali ini keputusannya lebih baik berbanding 2011” jelas Hafizh yang berusia 18 tahun.

Hafizh mengharapkan keputusan yang lebih baik dari tahun lepas

 

Bagi Pengurus Besar Petronas Motorsport, Anita Azrina Abdul Aziz, beliau menjangkakan Hafizh mampu beraksi cemerlang bersama jentera FTR Moto2 ini sekaligus mencerahkan lagi kareernya untuk menjadi pelumba terhebat pada masa hadapan.

“Melihat perjalanan Hafizh yang bermula dari Pocket Bike, CubPrix dan sehinggalah pada kedudukan yang beliau kecapi sekarang, nyata saya kagum dengan pencapaiannya” kata Anita pada majlis tersebut yang bertempat di Dewan Filharmonik Petronas.

“Namun untuk memastikan Hafizh benar-benar berjaya dimasa hadapan, ia sebenarnya mengambil masa yang agak lama. Oleh itu Petronas akan sentiasa membantu dalam setiap aspek bagi merealisasikan impian beliau” tambah Anita lagi.

GP Malaysia yang berlangsung 19 hingga 21 Oktober ini bakal menyaksikan 2 pelumba Malaysia beraksi iaitu Hafizh Syahrin dalam kategori Moto2 dan juga Zulfahmi Khairuddin dalam kategori Moto3.