Connect with:




Tunggangan meyakinkan kembali dipamer pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah pada Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) apabila menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-12 keseluruhan dalam saingan Grand Prix (GP) Thailand di Litar Antarabangsa Buriram semalam.

Memulakan perlumbaan di petak ke-18, pelumba Yamaha Tech3 itu memperagakan tunggangan cemerlang apabila mengatasi tiga pelumba di depannya bagi memungut empat mata berharga dalam saingan berkenaan.

GP Republik Czech, Ogos lalu merupakan kali terakhir Hafizh memungut mata pada saingan GP selepas berdepan masalah untuk mengendali jentera YZR-M1.

Pelumba yang terkenal dengan jolokan El Pescao itu ketinggalan 17.691 saat (s) di belakang juara, Marc Marquez yang mencatat masa keseluruhan 39 minit 55.722s.

Namun begitu, Hafiz memberitahu bahawa beliau sedikit bergelut dengan keadaan suhu jentera pada awal perlumbaan sebelum berjaya mengesahkan mata.

“Saya gembira dan lega kerana kembali meraih mata, namun pada sesi latihan pertama sehingga ujian masa kelayakan terpaksa bergelut dengan prestasi apabila sekadar mampu berada di kedudukan ke-18 dan saya memang kecewa dengan keadaan tersebut.

“Dari awal perlumbaan, saya yakin mampu mengatasi Takaaki Nakagami dan saya rasa yakin juga mampu memintas Franco Morbidelli, akhirnya saya berjaya mengatasi dia. Seterusnya saya hanya kekalkan rentak tunggangan.

“Saya akan berkerja lebih keras lagi kerana sekarang saya hanya merekodkan perbezaan lima mata dengan Morbidelli yang mengumpul 33 mata bagi kedudukan keseluruhan pelumba baharu terbaik,” katanya sejurus tamat perlumbaan.

Sementara itu dalam kelas Moto3 pula, pelumba Petronas Sprinta Racing, Adam Norrodin turut meraih mata selepas mengakhiri perlumbaan di tempat ke-15. Perlumbaan tersebut dimenangi Fabio Di Giannantonio (Del  Conca Gresini).