Connect with:




Hafiza Othman merupakan seorang isteri dan ibu kepada dua anak. Dia sememangnya dikenali dalam dunia larian di Malaysia selain kerap menyertai acara triathlon termasuk perlumbaan terkemuka Ironman.

Perjalanan Hafiza dalam acara larian dan triathlon bermula pada 2013. Ketika itu beratnya mencecah lebih dari 100kg. Demi mengembalikan kehidupan yang sihat, Hafiza mula bersenam dengan cara berlari. Acara larian pertama yang disertainya adalah sejauh 15km. Sejak itu, Hafiza tidak pernah berhenti untuk berlari.

Hafiza menceritakan dia menanam azam untuk menyertai triathlon selepas memberi sokongan kepada salah seorang mentor lariannya, Edan Shah yang menyertai Ironman 70.3 di Putrajaya.

“Sewaktu itu, saya tertanya kepada diri sendiri, betul ke ada orang boleh lakukan semua aktiviti lasak ini kerana saya pada masa itu, nak habiskan larian pun rasa separuh nyawa. Inikan pula 3 disiplin yang mencabar.

“Jadi saya nekad untuk turut sama membuktikan saya juga boleh melakukannya” kata Hafiza.

Sejak itu, Hafiza mula berlatih sambil mengambil tips-tips dari mereka yang berpengalaman sebelum menyertai triathlon jarak Olimpik.

“Dari situ, saya mula mendapat penajaan dari syarikat-syarikat tempatan. Salah satunya adalah Lucozade Sport Malaysia. Selain membekalkan minuman tenaga, Lucozade Sport turut mengajar saya cara berhidrasi dengan betul ketika berlari.

Perjalanan Hafiza tidak terhenti setakat itu. Selepas berjaya menyempurnakan dua kali Ironman 70.3, dia merasakan sudah tiba masa untuk menyertai perlumbaan traithlon terkemuka dan paling mencabar di dunia iaitu Ironman.

Ditanya mengenai apa yang memberinya inspirasi untuk menyertai Ironman, Hafiza memberitahu semua penamat Ironman adalah inspirasinya.

“Kebanyakan Ironman terutamanya para pemenang mempunyai latar belakang yang menarik. Ada yang pernah mengalam kebakaran teruk di bahagian badan. Itu semua menjadi motivasi untuk saya.

Hafiza kini bercita-cita untuk mencipta rekod menjadi wanita muslim Malaysia pertama beraksi di perlumbaan Ironman luar negara.

“Dahulu memang agak sukar untuk berlumba dengan sut menutup aurat kerana Ironman mempunyai peraturan dan undang-undang tersendiri bagaimanapun sejak kebelakangan ini, ia dilihat sedikit longgar.

“Saya mahu mengambil peluang itu dan mencipta rekod tersebut bagi membuktikan kemampuan wanita muslim Malaysia”.

Untuk membaca artikel penuh mengenai Hafiza Othman, dapatkan majalah Dunia Sukan edisi 61 (Februari 2018) di kedai-kedai buku berdekatan atau secara online di https://duniasukan.com/shop/.