Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen bakal mengesahkan Muhammad Hafiz Hashim sebagai jurulatih baru perseorangan wanita negara dalam pertemuan kedua baru-baru ini.

Hafiz merupakan Juara Seluruh England pada tahun 2003 dan memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2002 di Manchester.

Beliau menyatakan tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan ketua jurulatih, Tey Seu Bock serta rakan sejawat dari Indonesia Rony Agustinus.

Kerjaya beliau sebagai pemain perseorangan lelaki profesional sekali gus bakal ditamatkan bermula September ini.

Menurut Hafiz, perkara ini masih dalam perbincangan kerana kemungkinan beliau perlu menyelesaikan beberapa perkara dan beliau masih aktif sebagai pemain.

Selepas mengadakan perbincangan awal bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan Frost, beliau kini bersedia untuk menjadi jurulatih tidak lama lagi.