Kecederaan serius yang dialami oleh atlet angkat berat Mohd. Hafifi Mansor sekali gus menggugurkan dirinya dari beraksi dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, beliau telah menerima laporan doktor pakar daripada Institut Sukan Negara (ISN) menyatakan kecederaan Hafifi serius dan doktor pakar dari ISN berpandangan dia tidak boleh bertanding dalam Sukan SEA.

ISN sebelum ini membuat keputusan bahawa Hafifi masih belum pulih daripada kecederaan paha yang dialaminya ketika berlatih di China pada bulan lalu.

“Saya tahu Hafifi berpendapat dia masih boleh angkat lagi tetapi kita kena percaya kepada pakar.

“Adakalanya pakar perubatan buat keputusan untuk menyelamatkan atlet daripada dirinya sendiri. Mungkin dia rasa dia boleh tapi berdasarkan kepada penilaian doktor dan pemeriksaan imbasan menunjukkan kecederaan serius,”tambahnya.

Sekiranya atlet dari Terengganu itu masih cuba bertanding, dia mungkin mengundang kecederaan yang boleh menjejaskan kariernya sebagai atlet angkat berat.

“Menggugurkan Hafifi dari bertanding dilakukan dengan perasaan berat hati kerana atlet itu adalah antara sandaran negara untuk meraih pingat emas dalam Sukan SEA kali ini,” ujarnya.

Keputusan menggugurkan Hafifi mengejutkan peminat sukan tanah air kerana dia diharapkan untuk memenangi pingat emas.

Kali terakhir atlet angkat berat menyumbang emas kepada kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA adalah Che Mohd. Azrol Che Mat dalam kategori 105kg di Manila pada 2005.

 

FOTO KREDIT: Chung Sung-Jun/Getty Images