Connect with:




Penyerang skuad bawah 19 tahun negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak mencuri tumpuan lensa media di Jepun apabila sekali lagi menjalani latihan bersama kelab bola sepak dari Negara Matahari Terbit itu.

Terdahulu, Hadi pernah menjalani latihan bersama pasukan Roasso Kumamoto, kelab dari divisyen dua Liga Jepun (J2), bulan lalu dan kali ini penyerang tinggi lampai itu sekali lagi kembali ke Jepun untuk menjalani sesi latihan bersama salah satu pasukan J2 yang lain iaitu, Fagiano Okayama.

Dilabel sebagai pemain yang hebat serta berani mengambil cabaran bermain di Liga J2, Hadi yang memulakan sesi latihan dua hari lalu nyata mencuri tumpuan media di sana (Jepun).

Mereka menyifatkan Hadi sebagai seorang pemain berkualiti kerana ingin berkembang mengikut jejak langkah pemain Thailand yang turut berkelana di Jepun seperti Chanathip Songkrasin yang mewakili Consadole Sapporo serta Terasil Dangda bersama Sanfrecce Hiroshima.

Dalam pada itu, Hadi turut mengakui peluang berlatih bersama skuad senior Fagiano Okayama adalah medan terbaik buat dirinya meningkatkan prestasi.

“Terima kasih kepada Yakult Malaysia kerana mendapatkan peluang seperti ini (beraksi di Jepun) dan tidak dinafikan, beraksi di Jepun adalah impian yang telah lama saya impikan.

“Setakat ini latihan semua berjalan lancar malah saya melihat teknik latihan yang digunakan di sini banyak berbeza, pemain di sini juga sangat bagus, berani belajar benda baru.

“Saya rasa dengan latihan yang bakal dilalui bersama pemain berkemahiran tinggi di sini, saya mampu untuk menjadi pemain lebih baik,” katanya.