Connect with:




Menjelang perlawanan terakhir Kumpulan J kelayakan Kejuaraan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 antara China menentang Malaysia, jurulatih China, Guus Hiddink merasakan ia akan menjadi pertandingan yang sengit antara kedua-dua pasukan.

Anak buah Hiddink membelasah Filipina 8-0 dalam perlawanan terakhir mereka dalam Kumpulan J dan sebelum itu telah menewaskan Laos 5-0 dalam perlawanan pertama kempen itu.

Walaupun medapat dua kemenangan besar, Hiddink mendedahkan bahawa pertembungan mereka menentang Malaysia adalah perlawanan sebenar dalam kempen kelayakan ini.

“Saya melihat Malaysia bermain dan saya katakan, saya suka menonton mereka.

“Malaysia mempunyai pemain yang berkemahiran dan mencabar. Kami mengharapkan ada cabaran besar dari Malaysia.

“Saya juga tahu tentang mereka yang dilabel sebagai pembunuh gergasi kerana mereka telah mengalahkan negara-negara seperti Arab Saudi dan Korea Selatan tahun lalu. Ia akan menjadi ujian untuk pemain saya,” kata Hiddink.

Dalam temu bual itu, dia ditanya mengenai bintang Malaysia yang mana telah mencuri perhatian dia, dan jurulatih berasal dari Belanda itu berkata, “Itu terlalu sukar (untuk menyebut nama-nama). Saya cuba memahami bahasa anda tetapi saya akhirnya melanggar bahasa saya,” katanya sambil bergurau.

Bercakap mengenai kemenangan besar ke atas Filipina, Hiddink mendedahkan kegembiraan atas transformasi pasukannya.

“Tahun lalu, China mencatatkan kemenangan dengan jaringan kecil tetapi masih juga mengalami kekalahan.

“Mereka telah mencapai lebih banyak sekarang. Saya sangat menghormatinya dan saya juga terkejut dengan komitmen dan prestasi mereka.

“Mereka mengikuti apa yang diarahkan dalam latihan. Saya gembira dengan keputusan ini berbanding pada ketika saya memulakannya pada bulan September lalu.

“Terdapat 12 hingga 13 pemain dalam pasukan ini yang telah mencapai kemajuan yang luar biasa. Walau bagaimanapun, tidak kurang juga pemain bangku simpanan saya juga berada pada tahap yang sama dengan 11 pemain utama,” katanya.

Akhirnya, Hiddink percaya bahawa Persatuan Bola Sepak China (CFA) perlu terus mendedahkan bakat bintang-bintang pemain muda mereka.

“Berapa banyak masa permainan yang akan mereka dapatkan dengan kelab masing-masing selepas kejohanan ini? Kelab tidak perlu takut untuk memperkenalkan pemain muda mereka dalam pasukan utama.

“CFA perlu memikirkan cara untuk mencipta lebih banyak pertandingan kerana ia akan membantu perkembangan bola sepak mereka pada masa akan datang,” jelas Hiddink lagi. –FoxSports

 

Foto : FAM