Connect with:




Impian Manchester City untuk memulakan kempen Liga Juara-Juara dengan kemenangan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila tewas 1-2 kepada Lyon di Etihad.

Turun tanpa Pep Guardiola yang terpaksa menjadi penonton akibat menjalani hukuman kerana dibuang padang ketika suku akhir menentang Liverpool musim lalu, serba dilihat tidak menjadi buat The Citizen yang memperagakan aksi longlai.

Lyon nyata memanfaatkan kealpaan tuan rumah apabila Maxwel Cornet menghukum benteng pertahanan City pada minit ke-26 perlawanan setelah bijak menolak masuk hantaran lintang cantik dari Ketua Pasukan, Nabil Fekir.

Berbaki dua minit separuh masa pertama, Nabil Fekir sekali lagi cemerlang  untuk menambah derita tuan rumah apabila bijak menyudahkan lorongan Memphis Depay bagi memastikan kelab Perancis itu mendahului 0-2 menuju tamat separuh masa pertama.

City cuba bangkit menerusi Bernardo Silva pada minit ke-67 namun Lyon tetap ampuh bertahan sehingga ke wisel penamat sekaligus memastikan tiga mata penuh menjadi milik mereka.

Sasaran utama pemilik City setelah sedekad mengambil alih kelab yang berpangkalan di Manchester itu adalah menjulang trofi sulung Liga Juara-Juara.

Persembahan tidak kemas ditambah kesilapan mudah serta hambar yang dipamerkan skuad juara Liga Perdana Inggeris itu memberi isyarat buat peminat City agar lebih banyak bersabar dalam misi memburu kejuaraan Liga Juara-Juara.

Pelawat yang tampil dengan reputasi terumbang-ambing apabila sekadar meraih dua kemenangan daripada lima perlawanan saingan Ligue 1, Perancis musim ini dilihat lebih tenang mendominasi perlawanan.

City dilihat memilih jalan sukar untuk meneruskan saingan Liga Juara-Juara musim ini dan ianya pasti akan memaksa skuad bimbingan Guardiola itu untuk berkerja lebih keras jika mahu lolos ke peringkat kalah mati.