Le Tour de Langkawi (LTDL) 2018 bakal memulakan jelajahnya bermula 16 hingga 25 Mac ini namun saingan LTDL kali ini seolah-olah ‘suram’ ekoran hanya dua pasukan berstatus World Tour bakal mewarnai perlumbaan tersebut.

Walaubagaimanapun, saingan beberapa tahun lalu telah membuktikan World Tour bukan jaminan pasukan elit itu akan mendominasi perlumbaan sebaliknya pasukan yang lebih kerdil dan berstatus professional benua mampu bergelar juara.

LTDL yang memasuki edisi ke-23 hanya menampilkan dua World Tour iaitu Dimension Data dan Astana, namun pasukan professional benua yang mengesahkan penyertaan tetap hebat seperti Androni Giocattoli-Sidermec, Bardiani CSF, Manzana Postobon, Willier Triestina dan Bennelong Swisswellness Cycling.

LTDL 2018 menyajikan tarikan tersendiri apabila pemegang rekod kemenangan peringkat di LTDL, Andrea Guardini yang mengumpul 18 kemenangan peribadi, kembali demi melebarkan jumlah rekodnya.

Guardini mula mencipta nama dalam kancah professional apabila mula mengumpul koleksi kemenangan peringkat di LTDL 2011 ketika bersama pasukan Farnese Vini, sebelum mencatat kemenangan terbesarnya di Giro d’Italia.

Sejak itu, nama Guardini cukup sinonim dengan LTdL apabila dia tampil beberapa kali lagi di LTdL dengan pasukan berbeza, termasuk Astana.

Bersama-sama pasukan baharu, Bardiani CSF, pasukan bimbingan Roberto Reverberi itu yang menjadi antara pasukan tradisi dalam sejarah LTdL setelah tampil dengan nama Navigare-Gaerne, Panaria dan Colnago-CSF sebelum ini, dijangka akan menguasai peringkat landai yang lazimnya berakhir dengan henjutan pecut beramai-ramai ke garisan penamat.

Guardini diramal akan beren­tap dengan beberapa pakar pecut handalan lain, termasuk pelumba Androni berpengalaman berusia 33 tahun Manuel Belletti, yang pernah memenangi satu peringkat perlumbaan Grand Tour iaitu Giro d’Italia pada 2010 serta pernah menyarung jersi pasukan handalan AG2R.

Pencabar lain dalam perebutan gelaran Raja Pecut termasuk penyarung jersi kuning pada peringkat pertama LTdL 2017 lalu, Scott Sunderland dari Bennelong Swisswellness, selain Park Sung-baek (KSPO) dan dua pakar pecut negara, Anuar Manan (Forca Amskins) dan Hariff Salleh (Terengganu Cycling Team).

Foto Kredit : cyclingnews(dot)com