Berbekalkan status pasukan pilihan, Bertam Ulu FC gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lepas apabila tewas mudah kepada Graduan Bersatu bagi merebut Piala Datuk Raja Nong Chik 2011 yang diadakan di Sports Planet Ampang baru-baru ini.

Graduan Bersatu mempamerkan aksi permainan yang kemas dan mantap seterusnya menewaskan cabaran Bertam Ulu dengan jaringan 3-0.

Dengan kejuaraan ini Graduan Bersatu membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai berjumlah RM 3,500 manakala Bertam Ulu berpuashati dengan RM 2,500

Dalam kategori wanita pula, REM FC (A) muncul juara setelah menewaskan Putra Ria (A) melalui penentuan sepakan penalti setelah seri 0-0 dalam masa sebenar. Kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan namun buntu mancari gol yang dicari-cari.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab Sukan Petaling Putra (KSPP) dengan kerjasama A&A Multievent ini turut diserikan dengan perlawanan pertunjukan di antara pasukan pilihan artis menentang Pilihan Menteri. Antara artis yang terlibat adalah Zahid AF, Black Mentor, Fiq Mentor, Syed Aiman, Julia Ziegler, Syiera Halimah Jongang, Ekin AF dan ramai lagi.

Pasukan Pilihan Menteri yang diketuai Dato’ Raja Nong Chik sendiri turut disertai Ramlan Askolani serta pegawai-pegawai beliau.

Menurut Pengarah Program, Anies Maizura Ibrahim, kejohanan edisi kedua ini berjaya mencapai sasaran jumlah penyertaan seterusnya merapatkan lagi hubungan di antara Menteri Wilayah Persekutuan dengan orang ramai terutamanya penggemar futsal dari golongan belia.

KEPUTUSAN

LELAKI TERBUKA
1. Graduan Bersatu – RM 3,500
2. Bertam Ulu FC – RM 2,500
3. 69 United (A) – RM 1,500
4. All Star – RM 1,000

WANITA TERBUKA
1. REM FC (A) – RM 2,500
2. Putra Ria (A) – RM 1,500
3. REM FC (B) – RM 1,000
4. Ngap Sayot – RM 700