Connect with:




Juara dunia lima kali, Lewis Hamilton yang mewakili Mercedes memenangi perlumbaan Grand Prix Bahrain di Litar Sakhir, Manama selepas pemandu Ferrari, Charles Leclerc mengalami kerosakan enjin.

Kejadian itu sekaligus menafikan peluang Leclerc untuk meraih kejayaan pertama Formula Satu bersama Ferrari. Leclerc bermula di petak utama buat pertama kali kehilangan pecutan ketika mendahului pada baki 10 pusingan dan terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Valtteri Bottas yang memenangi perlumbaan pembukaan di Australia, menduduki tempat kedua untuk berada di kedudukan teratas carta kejuaraan mengikut mata mengatasi rakan sepasukannya, Hamilton.

“Perkara seperti ini boleh berlaku, ia sebahagian daripada sukan permotoran. Memang sukar untuk menerimanya tetapi saya yakin kami akan kembali dengan lebih kuat”, kata Leclerc.

Rakan sepasukan Leclerc yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel menamatkan saingan di tangga kelima manakala pemandu Red Bull, Max Verstappen di tempat keempat.

“Charles amat bernasib malang, dia telah mempamer pemanduan hebat. Kita perlu terus bekerja keras untuk bersaing dengan Ferrari. Charles pasti sangat kecewa”, kata Hamilton kepada radio pasukan.

Mercedes kini berada di tangga teratas keseluruhan selepas dua pemandunya, Bottas dan Hamilton menguasai tempat pertama dan kedua dalam GP Australia dan GP Bahrain.

Foto : Sportskeeda