700Jaringan tunggal pukulan sudut penalti Razie Rahim berjaya membawa kemenangan ke atas Korea Selatan dalam aksi kumpulan A Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London, awal pagi tadi.

Selepas tewas 2-5 kepada Argentina dan 3-7 kepada England, anak-anak buah Stephen Van Huizen bangkit mencatatkan kemenangan pertama dalam kempen yang turut menjadi medan kelayakan Piala Dunia tahun depan.

Korea Selatan lebih banyak menguasai permainan pada suku pertama namun ketangkasan penjaga gol negara, S.Kumar berjaya mengelakkan gawang pasukan dibolosi.

Pada minit ke-35, Malaysia mendapat pukulan sudut penalti yang kemudiannya disempurnakan Razie Rahim menerusi kuisan rendah yang padu.

Korea cuba bangkit malah mendapat tiga pukulan sudut penalti namun kesemuanya gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan. Pasukan lawan turut dikurniakan penalti stroke pada penghujung perlawanan namun kemudiannya membatalkan keputusan tersebut selepas melihat ulangtayang video.

Keputusan tersebut membawa Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan A dengan hampir pasti akan layak ke peringkat suku akhir. Malaysia bagaimanapun dapat mengesahkannya lebih awal jika menang ke atas China pagi nanti.

 

FOTO KREDIT: FIH