Connect with:




Anda tidak akan mendengar lagi sorakan ‘its coming home’ selepas ini setelah England tewas 1-2 kepada Croatia awal pagi tadi dalam separuh akhir ke-2 Piala Dunia di Stadium Luzhniki, Moscow.

Bek kanan Tottenham Hostpurs, Kieran Trippier meletakkan The Three Lions di hadapan setelah sepakan percuma cantik pada minit ke-5 menerjah jaring Danijel Subasic. Setelah itu, anak-anak buah Gareth Southgate tampak yakin melancarkan serangan bertali arus ke gawang gol The Blazers dengan sesekali melancarkan serangan balas.

Namun, kegembiraan England tidak bertahan lama apabila Ivan Perisic menyamakan kedudukan melalui tandukan hasil daripada hantaran lintang Sime Versaljko pada minit ke-68 perlawanan. Perlawanan tamat 90 minit dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Mario Mandzukic muncul wira 4.1 juta rakyat Croatia apabila menjaringkan gol ’emas’ buat pasukannya pada masa tambahan apabila 2 pertahanan dari Manchester, Kyle Walker dan John Stones ‘tertidur’ dari melakukan ‘marking’ keatas penyerang Juventus itu.

Kemenangan ini bermakna Croatia bakal bertemu Perancis di final Ahad ini dan England sekadar bertanding untuk tempat ke-3 dan ke-4 dengan Belgium pada Sabtu.

Foto: Ronaldo.com