Lars Stindl menjadi wira apabila berjaya menjaringkan gol mudah susulan kesilapan dari pemain tengah Chile, Marcelo Diaz sekaligus membuatkan Jerman menjulang Piala Konfenderasi semalam.

Kecuaian Diaz menyebabkan Timo Werner berjaya merampas bola dan membuat hantaran kemas kepada Stindl, sekaligus menjaringkan gol kemenangan buat Jerman dengan mata 1-0.

Ketua pasukan Jerman, Julian Draxler telah dinobatkan sebagai pemain terbaik bagi kejohanan itu dan menjelaskan bahawa kemenangan itu layak untuk mereka kerana telah berjuang dengan sebaiknya.

Julian turut menyatakan bahawa ini adalah kali pertama mereka dibentuk dalam satu pasukan dan tentunya ia amat bermakna buat setiap pemain Jerman.

Sementara itu kekecewaan ketua pasukan Chile, Claudio Bravo mengungkapkan mereka perlu belajar dari kesilapan walaupun tewas tipis kepada pasukan kelas dunia.

Chile gagal menyempurnakan peluang yang dimiliki, 61 peratus penguasaan serta 20 percubaan berbanding Jerman yang hanya berjaya membuat lapan kali percubaan sahaja.