Connect with:




Setelah berjaya menjulang trofi Kejuaraan Liga Bolasepak Subang (SFL) M5 2018, Glory United kini memasang impian untuk mendakap Piala FA SFL pula setelah mengesahkan slot di pentas final dengan mengetepikan Ingress RMFC pada pertembungan separuh akhir di Stadium Pensonic Seksyen 21, Shah Alam, Sabtu lepas.

Meskipun berjaya mengesahkan tiket ke pentas final, Glory bagaimanapun dipaksa berkerja keras apabila Ingress yang juga merupakan Naib Johan SFL 2018 memperagakan aksi yang mantap hingga berjaya mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti setelah kedudukan terikat 1-1 hingga ke wisel penamat.

Namun berbekalkan keazaman yang tinggi, Glory berjaya mengetepikan Ingress dengan keputusan 4-3 pada penentuan sepakan penalti sekaligus mengesahkan tiket final buat mereka.

Ketua Jurulatih Glory United, Azhari Hamzah menyifatkan kerjasama sebagai satu pasukan adalah kunci memastikan pasukan bimbingannya mara ke pentas final.

“Kami layak ke final kerana kami bermain sebagai satu pasukan yang bersatu hati dan meskipun kami ketinggalan 1-0, saya memberitahu pemain tiada tekanan buat mereka untuk memburu gol.

“Apa yang penting saya nak pemain saya menikmati perlawanan kerana itu saja kunci menumbangkan pasukan hebat seperti Ingress dan Alhamdulillah pemain berjaya melakukannya,” jelas Azhari.

Menanti Glory di pentas final yang akan berlangsung Sabtu ini di Stadium Pensonic adalah KV United yang terlebih dahulu mengesahkan slot final apabila mengetepikan SBF FC dengan keputusan 1-0 di stadium yang sama.

Pada masa yang sama, Azhari turut mengingatkan barisan pemain beliau agar tidak sesekali memandang enteng kemampuan lawan mereka di final nanti kerana KV United juga bukanlah calang-calang pasukan dan merupakan pemenang tempat ke-3 SFL 2018