Connect with:




Kemerdekaan telah memberikan kemakmuran dan kesejahteraan kepada rakyat Malaysia. Kesenangan yang dikecapi memberi peluang buat rakyat Malaysia menikmati segala nikmat yang ada termasuk nikmat kesihatan.

Bagaimanapun satu persoalan berlegar-legar dalam fikiran seorang penggiat industri kecergasan yang cukup dikenali di Malaysia, Murad Zaidi. Bagi Murad, dia berasa hairan dengan situasi yang dialami Malaysia ketika ini.

“Kebelakangan ini kita semua dapat lihat program kecergasan sentiasa dianjurkan setiap minggu. Gimnasium dan pusat kesihatan pula semakin bertambah.

“Kalau ikut logik, bila dah banyak program dan pusat kesihatan, sepatutnya rakyat Malaysia semakin sihat tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebaliknya” kata pemilik gimnasium Xclusive Fitnesz, Shah Alam ini.

Menurut Murad, statistik telah menunjukkan Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai kadar obesity dan penyakit diabetis tertinggi dalam rantau Asia.

Persoalan ini sebenarnya telah lama difikirkan Murad. Maka untuk mencari jawapan, Murad telah bereksperimen menggunakan dirinya sendiri untuk mengetahui punca sebenar permasalahan ini.

Eksperimen yang dimaksudkan itu ialah membuat transformasi dari badan yang sihat kepada perut yang buncit.

“Untuk ketahui masalah orang Malaysia, saya sendiri kena alami masalah itu. Jadi saya transformasikan diri saya. Selama 6 bulan, saya tidak jaga makanan. Saya bantai semua makanan tak berkhasiat setiap hari.

“Senaman? Langsung saya tak buat. Selepas 6 bulan, badan saya naik dari 85 kg hingga 210 kg. Apa yang saya alami sewaktu itu? Saya rasa sangat malas untuk bersenam. Badan jadi lesu. Tak produktif.

“Dari situ saya dapat buat satu kesimpulan. Sebenarnya pemikiran orang Malaysia masih belum benar-benar merdeka untuk jadi sihat.

“Maksud saya disini, orang Malaysia sebenarnya hanya mahu DILIHAT sihat, cantik, cergas tetapi hakikatnya mereka tidak mahu pun menjadi sihat.

Murad menambah, mereka yang mengalami masalah berat badan ini masih belum ‘merdeka’ dari segi kehidupan kerana mereka tidak dapat menjalani kehidupan yang lebih sihat.

“Adakah anda benar-benar merdeka bila anda tak mampu bermain dengan anak-anak sebab tak larat nak berlari? Badan sakit, sentiasa kena makan ubat pada usia yang muda?

“Ramai mahu menjadi kurus dan sihat tetapi hanya mahu kelihatan sebegitu. Itu yang ramai telan pil pelangsing dan ambil bahan bukan-bukan termasuk steroid. Hakikatnya mereka tak mahu pun jadi sihat” tegas Murad.

Bagi mengatasi masalah terhadap mentaliti tersebut, Murad mempunyai beberapa idea.

“Pertama, jurulatih (trainer) perlu jujur. Sekarang ni sudah ada gelombang baharu, ramai di luar sana menjadi trainer selepas berjaya turunkan berat badan dan sebagainya. Nak latih orang bukan senang, perlu ada ilmu dan kemahiran termasuk dari segi sains.

“Kedua, saya harap semua pihak berkaitan seperti Kementerian Kesihatan serta Kementerian Belia & Sukan bersikap lebih proaktif. Sudah tiba masanya Malaysia lebih tegas dalam melaksanakan dasar-dasar yang membantu rakyat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Sebagai contoh, mungkin perlu ada prosuder lebih keras dalam menjual makanan seperti ayam goreng. Ayam perlu digoreng dalam kuantiti minyak tertentu. Selain itu, di peringkat sekolah, beri para pelajar makan mengikut piramid makanan yang betul. Di luar negara sudah pun amalkan perkara begini.

Melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing adalah impian semua rakyat termasuk Murad namun secara peribadi, ia masih merupakan perjalanan yang jauh.

“Macam mana nak jadi negara maju kalau rakyat tak produktif? Sekarang ini, kita perlu bergantung kepada tenaga kerja luar.

“Bila rakyat sihat, baru la Malaysia boleh keluarkan segala potensi yang ada”.