Bayangan lapan ‘skipper’ yang akan beraksi di peringkat suku akhir esok sudah dapat dilihat walaupun masih ada tiga ‘flight’ yang belum dapat ditamatkan di peringkat kelayakan Piala Monsun 2012.

Bjorn Hansen bersama Mekonomen Sailing Team telah menyudahkan semua perlumbaan mereka dan berjaya mencatat tujuh kemenangan walaupun membuat permulaan yang agak buruk pada awalnya.

Turut berjaya mencatat tujuh kemenangan ialah Peter Gilmour walaupun juara dua kali Piala Monsun itu masih mempunyai satu perlumbaan yang perlu dijalaninya.

Dua orang pencabar utama Hansen untuk kejuaraan Jelajah ‘Match Racing’ Dunia ALPARI (AWMRT) 2012 juga sudah hampir pasti untuk layak ke peringkat kalah mati tersebut. Ian Williams (Team GAC Pindar) dan Keith Swinton (Black Swan Racing) berjaya menamatkan hari ke empat Piala Monsun dengan masing-masing mencatatkan enam kemenangan dari sembilan perlumbaan.

Kedua-dua mereka akan bertemu sesama sendiri esok di flight 15.

Turut mencatat enam kemenangan ialah ‘skipper’ Vannes Agglo Sailing Team, Pierre-Antoine Morvan yang akan bertemu dengan David Gilmour dalam perlawanan terakhirnya esok. Anak kepada Peter itu perlu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan itu serta dengan Laurie Jury dan mengharapkan keputusan lain berpihak kepadanya untuk mara.

Namun peluangnya agak tipis apabila Phil Robertson (WAKA Racing Team), Adam Minoprio (ALPARI Racing Team) dan Taylor Canfield (US One) telah pun mencatatkan lima kemenangan dan mungkin hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk mempastikan tempat di peringkat suku akhir.

Tiga orang ‘skipper’ yang boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Piala Monsun pagi esok ialah pelayar New Zealand Jury (KIWI Match Sailing), Johnie Berntsson (Berntsson Sailing Team) dan juara Sirkit ‘Match Racing’ Malaysia 2012, Jeremy Koo yang masih gagal mencatatkan sebarang kemenangan dengan berbaki tiga perlawanan.

Kedudukan Semasa

1. Peter Gilmour (YANMAR Racing Team) 7-3
2. Bjorn Hansen (Mekonomen Sailing Team) 7-4
3. Ian Williams (Team GAC Pindar) 6-3
4. Keith Swinton (Black Swan Racing Team) 6-3
5. Pierre-Antoine Morvan (Vannes Agglo Sailing Team) 6-4
6. Adam Minoprio (ALPARI Racing Team) 5-4
7. Taylor Canfield (US One) 5-4
8. Phil Robertson (WAKA Racing Team) 5-3
9. David Gilmour (Team Gilmour) 4-5
10. Laurie Jury (KIWI Match Sailing Team) 3-6
11. Johnie Berntsson (Berntsson Sailing Team) 2-9
12. Jeremy Koo (KFC Malaysia/KRT) 0-8