Pelayar berpengalaman yang juga penasihat kejohanan berprestij penutup musim Jelajah ‘Match-Racing’ Dunia ALPARI (AWMRT), Piala Monsun, Dato’ Peter Gilmour mengejutkan para hadirin dalam sidang akhbar hari kedua apabila menyatakan bahawa beliau tidak akan memohon untuk mendapatkan ‘kad jelajah’ AWMRT 2013.

Dengan tidak memohon untuk mendapatkan kad jelajah bermakna Gilmour tidak akan lagi bertanding secara kompetitif di dalam sukan yang sudah diceburinya sejak 32 tahun lalu.

Suatu jangkamasa yang lama dan menyaksikan beliau berjaya bergelar juara dunia ‘Match-Racing’ ISAF sebanyak empat kali (1990, 1997, 1998 dan 2006), sesuatu yang belum dapat dicabar oleh mana-mana pelayar lain.

Gilmour yang juga pernah beraksi di dalam perlumbaan kapal Piala Amerika menyatakan antara faktor yang membuat beliau membuat keputusan ini ialah faktor usia yang sudah mengurangkan daya kompetitifnya. Pencapaian terbaik beliau musim ini hanya sebagai naib juara di Piala Stena di Maastrand, Sweden.

Sebelum ini, Gilmour menyatakan bahawa dia mampu untuk memenangi sekurang-kurangnya satu kejohanan dalam AWMRT. Namun untuk dua musim terakhir dia gagal berbuat demikian dengan kejuaraan Portugal Match Cup di Portimão pada bulan Julai 2010 menjadi kemenangannya yang terakhir.

Namun faktor utama yang mendorong beliau untuk berhenti bertanding secara kompetitif ialah perubahan halatuju penaja utama beliau iaitu YANMAR yang kini mengubah haluan ke sukan bolasepak apabila dikatakan akan menjadi salah satu penaja sebuah kelab bolasepak Liga Perdana Inggeris.

Apabila ditanya mengenai perancangan beliau selepas ini, Gilmour menyatakan bahawa dia akan berfikiran terbuka sama ada meneruskan penglibatan beliau dalam sukan pelayaran atau beralih ke bidang yang baru berdasarkan kepada peluang-peluang yang ada.

Dia yang sudah dua kali meraih gelaran juara Piala Monsun (2005 dan 2008) tidak akan memaksa anak-anak beliau David dan Sam untuk meneruskan legasi keluarga Gilmour tetapi akan membiarkan mereka mencari halatuju masing-masing.

Namun apa yang jelas ialah David sudah pun mengikut jejak langkah ayahnya itu dengan persembahan baik di Regata Warren Jones tahun ini yang melayakkan beliau untuk bertanding di Piala Monsun kali ini, dan sudah pasti perlawanan di antara anak-beranak Gilmour akan menjadi tumpuan.

Gilmour juga tidak menolak kemungkinan untuk beraksi lagi dalam mana-mana kejohanan di masa akan datang secara ‘wild-card’ sekiranya keadaan ketika itu membenarkan beliau berbuat demikian. Malah pilihan untuk kembali bertanding secara kompetitif masih tidak ditolak sekiranya ianya sesuatu yang boleh dilakukan.