Connect with:




Dua daripada lima penyandang juara musim 2017/18 telah mempertahankan kejuaraan liga untuk musim 2018/19. Juventus terus mengekalkan dominasi di Serie A dengan melengkapkan kejuaraan walaupun masih berbaki lima perlawanan untuk ditamatkan.

Juventus mengekalkan kejuaraan apabila mengumpul 87 mata, 20 mata di hadapan pencabar terdekat, Napoli. Juventus kini berjaya mengekalkan kejuaraan Serie A selama lapan musim berturut-turut.

Sementara itu, saingan Ligue 1 di Perancis menyaksikan Paris Saint Germain mengekalkan gelaran mereka sebagai juara selepas pesaing terdekat, Lille hanya mencatatkan keputusan seri memberikan kelebihan 19 mata kepada PSG yang hanya berbaki lima perlawanan.

Kini, tumpuan terarah kepada tiga lagi penyandang juara yang masih dalam misi mempertahankan kejuaraan liga masing-masing iaitu Barcelona (La Liga), Manchester City (EPL) dan Bayern Munich (Bundesliga).

Bagi saingan La Liga, Barcelona dilihat mampu mengekalkan kejuaraan selepas mendahului carta liga dengan perbezaan sembilan mata di hadapan Atletico Madrid dan masih berbaki lima perlawanan untuk ditamatkan. Barcelona kini hanya memerlukan dua kemenangan dan satu keputusan seri untuk memenangi liga jika Atletico menang kesemua baki perlawanan.

Saingan di Liga Perdana Inggeris dan Bundesliga sangat berbeza apabila penyandang juara ditekan hebat oleh pencabar utama yang mahu merampas kejuaraan liga.

Manchester City mendapat cabaran yang hebat daripada Liverpool apabila mereka kini berada di tempat kedua liga dan mempunyai kelebihan satu perlawanan. Jika City menang menentang Manchester United pada awal pagi Khamis, City bakal kembali meneraju takhta liga dengan kelebihan satu mata.

Berbaki tiga perlawanan untuk ditamatkan, City perlu menang kesemua perlawanan untuk mengekalkan kejuaraan liga. Sebarang kesilapan yang dilakukan akan membawa padah kepada skuad bimbingan Pep Guardiola.

Di Jerman, saingan dua penjuru oleh gergasi Jerman tidak dapat dinafikan lagi. Bayern Munich berada di landasan terbaik untuk mengekalkan kejuaraan apabila mengambil kesempatan daripada kesilapan yang dilakukan Borussia Dortmund yang pada awalnya mendahului liga dengan perbezaan mata yang sangat jauh.

Namun, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan membawa padah kepada Dortmund selepas kekalahan 5-0 mereka kepada Bayern. Bayern kini satu mata di hadapan Dortmund yang berbaki empat perlawanan untuk ditamatkan.

Foto : Sportskeeda