Pertembungan musuh tradisi, Selangor dan Perak menyaksikan kemenangan berpihak kepada Selangor dengan keputusan 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Safiq Rahim menjadi wira Gergasi Merah hasil jaringannya minit ke 23.

Anak didik Irfan Bakti menguasai hampir keseluruhan aksi babak pertama dan gawang Perak kerap kali diuji barisan serangan Selangor yang diketuai Amri Yahya, namun ketangkasan Nasril Nourdin menyelamatkan gawang Seladang dari dibolosi.

Walaubagaimanapun, hasil gerakan solo penyerang dan kapten Selangor, Amri Yahya yang kemudian membuat hantaran lambung ke dalam kotak penalti disambut Safiq Rahim dengan rembatan padu menewaskan penjaga gol Perak untuk gol tunggal perlawanan.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan menambah asakan ke kubu lawan, namun ketumpulan jentera serangan menyaksikan perlawanan berkesudahan dengan Selangor meraih mata penuh dan Perak berputih mata.

T-Team pula meneruskan rentak cemerlang apabila menang 3-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Hang Jebat, Melaka. Tiga mata berharga ini diperolehi hasil jaringan penyerang import, Zachariah Simukonda (70’) dan Zairo Anuar Zalani pada minit ke 32 dan 80.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah berkongsi satu mata bersama pendatang baru Liga Super, Lions XII dengan keputusan seri tanpa jaringan. Keputusan itu sedikit sebanyak memberikan Kedah dan Lions XII peluang bernafas seketika setelah masing-masing kalah dalam aksi pertama sebelum ini.

Sementara itu, Terengganu mengutip mata penuh apabila mudah menumbangkan Felda United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Terengganu membuka jaringan pada minit ke 11 hasil jaringan pemain tengah, Ismail Faruqi. Tambahan dua gol dari Ashaari Shamsuddin (71’, 90’) memastikan Penyu menang 3-0 di laman sendiri.

Derby Borneo antara Sabah dan Sarawak di Stadium Likas, Kota Kinabalu, menyaksikan kemenangan berpihak kepada Sabah dengan keputusan 2-1. Sabah mendahului dua gol hasil jaringan pemain import, Michael Baird (20’) dan Bobby Gonzales pada minit ke 45. Gol saguhati Sarawak pula diperolehi menerusi jaringan K. Ravindran minit ke 73.

Di Stadium JCorp, Pasir Gudang, Negeri Sembilan membawa pulang tiga mata apabila mengatasi Johor FC dengan keputusan 2-0. Gol pertama Rusa hadir pada minit ke 32 hasil jaringan penyerang muda, Ahmad Shakir Ali. Penjaga gol Johor FC, Anis Faron tewas sekali lagi, hasil rembatan padu Shakir dari luar kotak penalti pada minit ke 48.

Sebelum itu, dalam aksi hari sebelumnya, Kelantan diikat juara Liga Perdana musim lalu, PKNS FC dengan keputusan seri 1-1 di laman sendiri. Gol telah dijaringkan oleh Badri Radzi untuk Kelantan (71’) dan Fauzan Dzulkifli untuk PKNS FC (80’).

T-Team ketika ini menerajui saingan awal Liga Super hasil dari dua kemenangan yang diperolehi dan diekori rapat oleh Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor, masing-masing berkongsi empat mata.