Connect with:




 

Skuad Harimau Malaya memiliki cukup ramuan untuk menggegar saingan Piala AFF penghujung tahun ini sekiranya 10 pemain naturalisasi yang beraksi di saingan Liga Malaysia (Liga-M) disenaraikan oleh pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe.

Berdasarkan senario semasa liga tempatan, kejayaan beberapa pasukan mengesan pemain yang mempunyai pertalian darah dengan Malaysia bukan sahaja menguntungkan pasukan negeri, malah turut memberi tempias positif kepada skuad negara.

Menerusi statistik terkini, Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul kelab paling ramai mendaftarkan pemain berstatus naturalisasi seperti Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong, Darren Lok dan Junior Eldstal.

Ia diikuti Melaka United iaitu Khair Jones dan Nicholas Ryan Swirad, selain Matthew Davies (Pahang), Brendan Gan (Perak), Lee Andrew Tuck (Terengganu FC) serta Kiko Insa yang menyarung jersi kelab divisyen satu Thailand, Bangkok Glass.

Bekas pengendali Timor Leste yang kini membimbing skuad Liga Super Kuala Lumpur, Fabio da Silva turut mengakuinya dan percaya ‘generasi emas’ dapat mengubah nasib skuad Harimau Malaya.

“Malaysia ada segala-galanya untuk menjadi pasukan terkuat bukan saja di rantau ini tetapi juga Asia. Ketika ini sudah ramai pemain naturalisasi dan saya percaya pasukan Malaysia akan tampil sangat kuat di Piala AFF nanti.

“Dengan segala perubahan yang sedang FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) usahakan, saya yakin negara ini mempunyai masa depan yang cemerlang terutamanya pasukan kebangsaan.

“Gunakan peluang yang ada ini untuk mengumpulkan mereka (tonggak naturalisasi) kerana pemain ini ada pengalaman dan kualiti,” katanya yang pernah menentang skuad Harimau Malaya empat kali dalam tempoh dua tahun dari 2015-2016 sebelum melatih Kuala Lumpur musim lalu.

Cheng Hoe, 50, yang dilantik menggantikan Nelo Vingada sebagai pengendali skuad negara kini dalam proses merangka persiapan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2019 berdepan Lubnan di Beirut pada 27 Mac ini yang dilihat mempunyai banyak pilihan pemain untuk dipanggil.

Tegas Fabio lagi, aksi cemerlang pemain muda negara dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 tahun (B-23) di China baru-baru ini juga mampu memberi nilai tambah kepada kekuatan skuad itu nanti.

“Sekiranya jurulatih (Cheng Hoe) berjaya menggabungkan kelompok pemain naturalisasi dan B-23 dalam satu pasukan, saya yakin Malaysia akan tampil lebih kuat dan mampu menjuarai Piala AFF tahun ini,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Foto Kredit:tv14.my