Connect with:




Bekas juara Fear Factor Malaysia, Mohd. Redha Razlan, 30, mengharumkan nama negara di bumi Australia apabila muncul juara Ninja Challenge League (NCL) 2018 yang berlangsung di Perth, Australia kelmarin.

Ninja Malaysia yang lebih mesra dengan panggilan Mat Redho itu mengetepikan dua lawan beliau, Jake Murray dari Denver, Colorado, Amerika Syarikat di tempat kedua sementara seorang peserta tempatan, Cameron D’Silva yang berpuas hati di tangga ke tiga.

Kejayaan menduduki tempat pertama di cabaran ketiga memastikan Mat Redho membawa pulang sejumlah wang tunai AS$1,250 (RM5,213) untuk kategori Last Ninja Standing selain turut membawa pulang gelaran Last Man Standing bersama wang tunai AS$1,250 (RM5,213).

Selain penglibatan lebih 50 peserta tempatan, kejohanan ini turut disertai 30 ninja terbaik di Perth dan turut menarik minat 11 peserta antarabangsa dan difahamkan pentas akhir tersebut merupakan yang terbesar serta berprestij setakat ini.

Ditemani isteri dan anak-anak tercinta sepanjang kejohanan, beliau (Mat Redho) mengharumkan nama negara apabila berjaya menaiki podium buat kali pertama dan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh bangga  semasa majlis penyampaian hadiah.

Mat Redho meluahkan kegembiraan beliau setelah muncul juara buat kali pertama dengan memuat naik status di laman instagram miliknya.

“Tidak pernah aku lupa bawa kain Jalur Gemilang ke mana-mana, walaupun kecil tapi berat beban untuk digalas. Alhamdulillah podium,” tulis Mat Redho.

Selain itu, beliau turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada isteri tersayang kerana sentiasa bersama menemani memberi sokongan pada ketika beliau sedang beraksi.

“Setakat ini saja yang saya mampu. Terima kasih kepada isteri yang selalu menemani dan menjerit sambil mendukung anak-anak kami.

“Kami ada tabung sendiri untuk ke luar negara, macam biasa kalau mahu bertanding ke luar negara pasti pecah tabung. Pada masa sama, saya tidak pernah putus asa cuba nasib untuk ditaja,” jelasnya.

Peserta yang berjaya melayakkan diri ke pentas final NCL 2018 telah mengesahkan kelayakan secara automatik ke National Ninja League World Championship di Amerika Syarikat bermula 15 hingga 18 Februari 2019.

 

Foto : Instagram Redha Razlan (Mat Redho)

Sumber : Bernama