Mohd Amirul Ariff Musa Mengejar Kejuaraan CP115

 

Gelaran juara di Taiwan membakar semangat Mohd Amirul Ariff Musa untuk mencatat kejayaan serupa dalam saingan CP115 pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Litar Sepang Selatan, hujung minggu ini.

Bulan lalu, pelumba Pachie Yuzy Honda Racing itu mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi Perlumbaan 2 kategori Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) yang berlangsung di Litar Antarabangsa Penbay dengan mengetepikan beberapa pencabar utama termasuklah pelumba Indonesia, Hadi Wijaya yang baru dinobatkan juara keseluruhan,.

Menjadi antara pencabar utama untuk merebut mahkota kejuaraan CP115 pada musim ini, Amirul bagaimanapun gagal mengulangi pencapaian menduduki tiga tempat teratas dalam empat daripada lima pusingan ARRC sepanjang tiga pusingan terakhir Cub Prix yang berlangsung di Muar (pusingan 6), Kluang (Pusingan 7) dan Melaka (Pusingan 8).

Nekad untuk menamatkan musim 2012 sebagai juara, Amirul berharap momentum di Taiwan akan berterusan dan membantunya kembali menaiki podium dalam baki saingan Cub Prix musim ini.

“Kemenangan di Taiwan melonjakkan keyakinan saya untuk beraksi di Sepang. Mungkin adakalanya saya mempunyai banyak kelemahan sewaktu beraksi di litar Cub Prix yang agak sempit, mempunyai selekoh tajam dan teknikal. Berbeza sewaktu saya beraksi di litar lebar dan panjang seperti di ARRC. Malah saya cukup teruja walaupun terpaksa berhadapan dengan pelumba-pelumba yang sangat aggresif,” katanya.

Amirul menambah, “Selain itu, jentera kami telah terbukti antara jentera terpantas sewaktu berlumba di litar yang panjang. Ketahanan dan kelajuannya telah membantu saya untuk berada di kelompok hadapan pada setiap perlumbaan ARRC. Saya percaya seluruh krew pasukan akan menggunakan pelarasan sama pada perlumbaan di Sepang. Saya tidak sabar untuk beraksi pada minggu ini.”

Amirul Ariff Ada Kelebihan Di Litar Panjang

 

Sementara itu, pengurus pasukan, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata, “Amirul memang cukup selesa dan mempunyai banyak kelebihan apabila beraksi di litar panjang. Sememangnya kami turut mengharapkan dia mampu mencapai kejayaan serupa di litar Cub Prix yang lain. Namun ekoran tertekan untuk merapatkan jurang mata dengan pendahulu (Shahril Izzuwan Mohd Noor), dia gagal menemui rentak kompetitif.”

“Walau bagaimanapun, dia mempamerkan inisiatif sendiri untuk menamatkan perlumbaan di hadapan Shahril sepanjang tiga pusingan lepas dan kini hanya enam mata memisahkan mereka. Jika dia dapat mengutip mata maksimum pada baki dua perlumbaan terakhir, sudah pasti dia berpeluang cerah untuk merebut gelaran CP115. Kemenangan di Taiwan juga meningkatkan tahap motivasi dirinya.”

Setakat lapan pusingan yang telah berlangsung, Amirul kini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 104 mata, manakala Shahril (PETRONAS Syntium Moto Yamaha AHM) mendahului kedudukan dengan 110 mata. Mohd Emir Firdaus Hasan (M-Seki Liberty Honda Racing) berada di tempat ketiga, 96 mata.

Masuk adalah percuma. Maklumat lanjut sila hubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) di talian 03-8733 8787 atau layari laman web rasmi Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di www.malaysiancubprix.com