Gavin Kyle Green muncul sebagai pemain golf Malaysia pertama merangkul gelaran Order of Merit Jelajah Asia 2017.

Gavin,23 berjaya mengharungi saingan bersama jaguh-jaguh golf terkemuka Asia sepanjang tahun ini.

Gavin mengesahkan gelaran Order of Merit Jelajah Asia itu selepas menamatkan saingan dengan berkongsi di tempat ke-19 pada Terbuka Joburg

Kemenangan itu menyaksikan beliau meraih AS$13,277.40 (RM54,056) untuk mengumpulkan wang kemenangan keseluruhan berjumlah AS$585,813 (RM2.384 juta), musim ini.

Gavin menjadi pemain kedua termuda memenangi gelaran tersebut sejak Jelajah Asia diperkenalkan pada 2004.

Kejayaan membanggakan itu menyaksikan Gavin mendapat pengecualian lima tahun pada Jelajah Asia, dan beraksi di saingan berprestij ‘2018 The Open Tournament’ dan juga Kejohanan WGC-Mexico.

Prestasi cemerlang Gavin itu bermula semasa Terbuka India pada Mac apabila menamatkan cabaran di tempat kedua, sebelum berkongsi di tempat ketiga pada kejohanan Yeangder Heritage di Taiwan, pada April.

Gavin terus beraksi cemerlang apabila sekali lagi meraih tempat kedua pada Terbuka Shinhan Donghae di Korea Selatan (September), dan seterusnya mencerahkan peluangnya meraih gelaran Order of Merit Jelajah Asia itu, dengan memenangi gelaran Jelajah Asia pertamanya di Taiwan Masters, dua minggu kemudian.

Beliau berpeluang menamatkan musim ini dengan pencapaian lebih cemerlang kerana bakal beraksi pada kejohanan terakhir Jelajah Asia 2017, iaitu Masters Indonesia yang menawarkan hadiah wang tunai AS$750,000 (RM3.055 juta), minggu ini.

Juara kejohanan berkenaan akan menerima hadiah wang tunai AS$135,000 (RM549,880) dan juga minimum 20 mata Ranking Rasmi Golf Dunia, selain berpeluang beraksi pada kejohanan WGC – Bridgestone Invitational 2018.

Kedudukan 10 Teratas Order of Merit Jelajah Asia 2017:

1.GAVIN KYLE GREEN (MAS) US$585,813 (RM2.384 juta)

2. David Lipsky (USA) US$461,179 (RM1.878 juta)

3. S.S.P. Chawrasia (IND) US$440,747 (RM1.794 juta)

4. Scott Hend (AUS) US$439,229 (RM1.788 juta)

5. Wade Ormsby (AUS) US$423,896 (RM1.727 juta)

6. Shubhankar Sharma (IND) US$379,535 (RM1.545 juta)

7. Phachara Khongwatmai (THA) US$364,799 (RM1.485 juta)

8. Poom Saksansin (THA) US$326,678 (RM1.330 juta)

9. Jazz Janewattananond (THA) US$305,925 (RM1.246 juta)

10. Daisuke Kataoka (JPN) US$284,489 (RM1.158 juta)

Sumber : Bernama

Foto Kredit : Twitter (@gavingreen93) , (@asiantourgolf)