Connect with:




Setelah enam minggu beretap akhirnya wakil Malaysia Geek Fam berjaya menjuarai kejohanan Liga Profesional Mobile Legends MY/SG (MPL) Musim Ketiga. Lebih manis mereka berjaya mengekalkan kejuaraan milik Malaysia sebelum ini, rekod lama dipegang oleh Reborn.

Geek Fam yang diwakili oleh 2ez4jepv, Rippo, Xorn, Feekz, Artz dan Dominus berjaya memenangi tiga perlawanan dalam format best of five apabila berdepan dengan wakil Singapura EVOS Esports SG di grand final.

Kemenangan tersebut melayakkan Geek Fam membawa pulang piala MPL dan hadiah wang tunai USD25,000 (RM103,337). Manakala bagi kategori MVP juga dimenangi ahli kumpulan Geek Fam, Dominus yang berjaya memenangi wang tunai USD1,000 (RM4,133).

 

Pasukan Geek Fam
Foto: MPL

Sebelum ini, Geek Fam adalah pasukan biasa sebelum Musim 3 tetapi beransur-ansur meningkat menjadi skuad yang matang. Ketika perlawanan menentang juara bertahan, Reborn ia adalah kemenangan beremosi buat Geek Fam apabila permainan begitu sengit dan pada perlawanan ketiga mereka memerlukan masa 29 minit untuk diselesaikan dengan keputusan akhir kemenangan milik Geek Fam 2-1 untuk menghadapi wakil Singapura, Bigetron SG dalam perlawanan seterusnya.

Pasa pusingan seterusnya menentang Bigetron SG juga merupakan perlawanan yang sengit bagi Geek Fam sebelum menang 2-1. Pada perlawanan akhir Geek Fam sekali lagi bertemu wakil Singapura EVOS Esports SG dengan kemenangan 3-1 dan pada perlawanan keempat mereka memerlukan masa 20 minit sebelum bergelar juara musim ketiga. – MPL

Foto: MPL

 

Malaysia sedia bida jadi tuan rumah Piala Dunia Mobile Legends

Kecemerlangan pemain-pemain dan pasukan e-sukan di Malaysia tidak dapat dinafikan lagi dengan kejuaraan yang diraih oleh Geek Fam dalam menjuarai kejohanan Liga Profesional Mobile Legends MY/SG (MPL) Musim Ketiga tersebut. Maka tidak hairanlah Malaysia melalui Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Abdul Rahman kini sedang mencuba membida Kejohanan Piala Dunia Mobile Legend untuk menjadi penganjur.

Selain Geek Fam, Malaysia turut mempunyai pasukan Boskurr Gaming yang diketuai oleh Fredo, Gripex, Soloz, Rush, Penjahat dan Logan. Pasukan Icon yang diketuai oleh ComeToPaPa, King Ketom, Kuja, Scott, Syno dan Unta. Pasukan Mysterious Assassin (MYA) yang diketuai oleh SHADOW, Fabbbyyy, D’Acer, Kucing Gebu, Lmao dan Flint Kiut. Pasukan Reborn yang diketuai oleh Silo, Evilx, Loong, Rynn, Lacid dan Kenpachi. Pasukan X-Pax X-Assins diketuai oleh Arab, Kukuu, Nami, Artha, Ax dan Smooth. Kesemua pasukan dari Malaysia yang mempunyai bakat mereka tersendiri dan berpeluang untuk menjadi wakil Malaysia untuk ke Piala Dunia tersebut.

Pasukan yang bertanding dalam kejohanan Liga Profesional Mobile Legends MY/SG (MPL) Musim Ketiga

Menurut Syed Saddiq, jika pengajuran Piala Dunia tersebut akan diadakan tahun depan, pihaknya akan cuba untuk membida kejohanan itu untuk diadakan di Malaysia.

“Kami akan mencuba sebaik mungkin tetapi akan membuat semakan terlebih dahulu dengan KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta persatuan e-sukan kerana mereka juga mempunyai persatuan antarabangsa. Tetapi memang kita hendak bawa kejohanan Piala Dunia ke Malaysia,” katanya.

Malah menurutnya lagi, pengajuran permainan e-sukan akan menguntungkan negara kerana dana pengajuran e-sukan akan dikeluarkan oleh sektor koporat itu sendiri dan bukan kerajaan. Selalunya mereka akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda jika menganjurkan e-sukan.

“Kita boleh lihat sebelum ini iaitu ketika pengajuran Dota Major, peminat e-sukan sanggup membeli tiket yang mahal untuk datang melihat perlawanan tersebut, maka ia akan memberikan keuntungan kepada penganjur ajdi tidak hairanlah banyak sektor koporat akan mengeluarkan dana yang banyak,” jelasnya lagi.

Pembangun e-sukan mudah alih Mobile Legends, Moonton akan merancang untuk mengadakan kejohanan peringkat dunia tahun depan termasuk di peringkat Asia, Eropah dan Amerika Syarikat berikutan peningkatan jumlah pemain. – BERNAMA

 

Foto: Geek Fam Mobile Legends