Muhd Hamidi Ghazali memastikan mata kemenangan dalam pertarungan akhir acara berpasukan silat olahraga pada hari penamat Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-16 di Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras hari ini, untuk membolehkan Gayong Fatani mencatat kemenangan 3-2 ke atas Pahang.

Penguasaan penuh Hamidi ketika menentang Syamsul Saifuddin Mat Isa menyaksikan dia meraih kemenangan 5-0 dan memberikan Gayong Fatani pingat emas kedua dalam kejohanan kali ini, keputusan yang melonjakkan pertubuhan itu dari tangga kelapan ke tangga kelima dalam senarai pungutan pingat keseluruhan.

Walaupun tewas dalam acara berpasukan, Pahang mampu berasa bangga kerana pesilatnya memungut keseluruhan 11 pingat emas, tiga perak dan empat gangsa untuk muncul juara keseluruhan  buat kali keempat berturut-turut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir menyampaikan hadiah kepada peserta. Turut hadir ialah Presiden Pertubuhan Silat Kebangsaan (Pesaka), Datuk Wira Muhd Ali Rustam dan Presiden Pesaka Kuala Lumpur, Haji Adnan Zakaria.

Pahang muncul juara 2004, 2006 dan 2010 manakala Lincah Malaysia pernah muncul juara tiga tahun berturut-turut pada 1998, 2000 dan 2002.

Pahang menguasai penuh Silat Seni atau artistik dengan lapan pingat emas dan menambah tiga lagi dalam acara Silat Olahraga.

Tentera memastikan kedudukan kedua keseluruhan dengan pungutan 6-0-5 manakala Terengganu di tangga ketiga dengan 3-4-4.

Mata kemenangan Hamidi ketika menentang Syamsul dalam perlawanan terakhir acara berpasukan itu, menambah mata kemenangan sumbangan Aini Shahirah Abd Nasir dan Nor Hamizah Abu Hassan, selepas Pahang memungut mata daripada kemenangan Ahmad Shahriduan Zailudin dan Mohd Saiful Riduan dalam saingan awal.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Pahang, Mohamad Hamidi Mohamad, berkata latihan berterusan selama tiga tahun menjadi faktor kejayaan Pahang mempertahankan kejuaraan keseluruhan buat kali keempat berturut-turut.

“Pesilat kami berlatihan sepanjang masa di dua kem latihan di Balai Silat Pahang di Teluk Sisek, Kuantan serta Temerloh. Daripada keseluruhan 40 pesilat yang kami ada, hanya yang terbaik dipilih untuk menyertai sesuatu kejohanan.

“Ini berbeza dengan pasukan lain yang hanya menjalani latihan pusat beberapa minggu menjelang bermula sesuatu kejohanan,” kata Mohamad Hamidi menjelaskan faktor dominasi Pahang sejak tahun lalu.

KEPUTUSAN AKHIR

PUTRA

Kelas C (55-60kg): Husni Naim Mat Latiff (Selangor) mng Amir Ikram Rahim (Pahang) 3-2

Kelas E (65-70kg): Mat Sabar Nordin (ATM) mng Nor Irman Yajis (Selangor) 3-2

Kelas G (75-80kg): Mohd Izzudin Hanan (Kuala Lumpur) mng Zahriman Kamarol Zaman (Melaka) 5-0

Kelas H (80-85kg): Mohd Saiful Riduan Rahmat (Pahang) mng Mohd Nazrul Mazlan (Selangor) 3-2

Kelas J (90-95kg): Zamri Che Ya (Kelantan) mng Wan Izzaidi Wan Ismail (Terengganu) 5-0

 

PUTRI

Kelas C (55-60kg): Siti Humairah Kosidin (ATM) mng Manisah Mohammad (Kedah) 5-0

Kelas D (60-65kg): Siti Zubaidah Che Omar (Kedah) mng Emy Latip (Sabah) 3-2

Kelas BB (75-90kg): Azlina Abd Aziz (Pahang) mng Junaidah Omar (Gayong Malaysia) 3-2

 

BERPASUKAN

Gayong Fatani mng Pahang 3-2

PUNGUTAN PINGAT

E       P        G

Pahang                11      3        4

Tentera               6        0        5

Terengganu       3        4        4

Selangor              2        9        4

Gayong Fatani  2        1        5

Kuala Lumpur  2        1        3

Gayong Msia      1        2        5

Kedah                   1        2        1

Kelantan              1        1        1

N. Sembilan       1        1        0

Lincah Msia        1        1        0

Perak                   0        4        7

Melaka                0        1        6

Sabah                  0        1        2

Labuan               0        0        1

P Pinang             0        0        1

Perlis                   0        0        0