Pemain Terbaik Jelajah Asia 2017, Gavin Kyle Green kini bakal memberi tumpuan sepenuh buat kejohanan mendatang yang bakal berlansung di Malaysia, kejohanan Piala EurAsia 2018 pada 12 hingga 14 Jan ini.

Bermula dari bawah Gavin kini sudah mula terkenal dalam kalangan atlet golf Asia dan antarabangsa.

Pemain berusia 23 tahun itu melakar prestasi cemerlang pada musim 2017 dengan meraih gelaran juara Jelajah Asia untuk julung kali bagi dirinya, diisytiharkan sebagai Pemain Nombor 1 Asia dan dipilih sebagai Pemain Terbaik 2017.

“Ia akan menjadi sesuatu yang menyeronokkan, dapat berada di tanah kelahiran, Malaysia. Tempat kejohanan hanya 10 minit perjalanan dari rumah saya dan ini tentunya sesuatu yang menyeronokkan. Lebih-lebih lagi apabila semua rakan dan penyokong berada di sini.

“Harapan saya agar kami (Pasukan Asia) akan mencapai kejayaan cemerlang pada tahun ini dan saya benar-benar ingin mencapai kemenangan itu…bukan untuk diri sendiri sahaja, tetapi juga untuk Team Asia,” kata Gavin kepada pemberita di venue kejohanan, Glenmarie Golf and Country Club (GGCC), di sini hari ini.

Setelah melalui tahun penuh kejayaan, Gavin akan menjadi sebahagian daripada Pasukan Asia yang diketuai Arjun Atwal dari India untuk beradu kehebatan dengan Pasukan Eropah yang diketuai Thomas Bjorn.

Sumber : Bernama

Foto Kredit : Twitter (@asiantourgolf)