Connect with:




Jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso membidas Timbalan Perdana Menteri Itali, Matteo Salvini untuk memberi tumpuan hanya kepada politikĀ  dan bukannya berbicara mengenai bola sepak selepas Salvini mengkritik plan permainannya dalam perlawanan yang berakhir dengan keputusan 1-1 menentang Lazio Ahad semalam.

“Ia buat saya gila, dengan banyak isu negara yang melanda negara ketika ini tetapi Salvini mempunyai masa untuk berbual mengenai AC Milan,” kata Gattuso.

Salvini, penyokong AC Milan, yang menyaksikan perlawanan tersebut dilihat mempersoalkan mutu permainan Milan selepas pemain Argentina, Joaquin Correa meyamakan kedudukan untuk Lazio.

“Jika saya jadi Gattuso, saya akan membuat pertukaran pemain. Pemain sudah letih, saya tidak faham mengapa dia tidak membuat pertukaran pada babak kedua,” kata Salvini kepada televisyen Itali selepas perlawanan.

“Kita mempunyai sekurang-kurangnya tiga pemain yang keletihan bermain dalam hujan lebat dan padang berlumpur. Bolehkah sesiapa datang kepada saya dan menjelaskan kedegilan Gattuso kepada saya?

Dalam pada itu, AC Milan kini berada di tangga kelima dalam Serie A, satu mata di belakang Lazio, yang menduduki tempat terakhir Liga Juara-Juara, dan ketinggalan 15 mata dari penghuni kedudukan pertama, Juventus.

Mengulas lanjut mengenai komen Salvini, Gattuso berkata: “Saya tidak bercakap tentang politik kerana saya tidak faham tentang politik.

“Saya mahu dia fokus sahaja pada politik kerana dengan segala masalah yang ada di negara kita. Jika timbalan perdana menteri bercakap tentang bola sepak, ini bermakna kita berada dalam keadaan yang tidak baik.” – AFP