Rakan sepasukan Bahyudin mempertikaikan keputusan pembantu pengadil.

 

KUALA LUMPUR, (Bernama) — Gara-gara mencengkik pengadil perlawanan, pemain bola sepak Kolej Komuniti Kedah (KKK) Muhammad Bahyuddin Razali dijangka berdepan hukuman Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Insiden dilapor berlaku semasa perlawanan akhir Liga Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Piala Menteri Pengajian Tinggi , Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT), Dr Saharudin Ismail berkata pihaknya akan mendapatkan laporan akhir daripada kolej berkenaan sebelum membuat sebarang keputusan terhadap Muhammad Bahyuddin.

“Insiden kekasaran terhadap pengadil ini dirakam oleh media dan ia tidak sewajarnya berlaku tetapi Kementerian Pengajian Tinggi berpendapat ia tidak menggambarkan sikap keseluruhan pasukan terbabit.

“Kami juga berpendapat institusi terbabit mampu menangani insiden ini. Jika bersalah, penganjur (KPT) akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada aksi perlawanan itu, Muhammad Bahyuddin telah dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan Zulkifli Ahmad setelah mengasari pemain Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Baharom Putra. Ekoran itu, Muhammad Bahyuddin telah bertindak ke atas Zulkifli.

“Secara prinsipnya, penganjur tidak ada halangan sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhasrat untuk mengenakan sebarang tindakan mengikut peraturan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Datuk Hamidin Mohd Amin, Naib Presiden FAM anggap perkara biasa dalam bolasepak dan banyak perkara perlu ditingkatkan.

 

Bagaimanapun Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin yang turut hadir menyaksikan perlawanan itu menyifatkan perkara tersebut sebagai satu kebiasaan dalam perlawanan bola sepak dan terdapat beberapa perkara yang perlu dipertingkatkan.

“Pegawai perlawanan adalah dari FAM. Saya lihat perkara itu adalah proses biasa dalam mana-mana pertandingan. Saya lihat ada beberapa perkara yang perlu dibaiki bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang pada masa akan datang,” kata Hamidin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Pada aksi itu UKM mengalahkan KKK 2-1. – BERNAMA