Selepas menambah dua emas pagi ini di Putrajaya menerusi acara renang maraton 10km, kontinjen negara menuai satu lagi emas dalam acara memanah.

Pasangan compound berpasukan campuran negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh dan Mohd Juwaidi Mazuki mengutip 152 kutipan mata secara keseluruhan mengatasi Myanmar dengan 142 mata pada aksi final yang berlangsung di Lapangan Memanah Majlis Sukan Negara (MSN).

Keputusan emas Malaysia itu meleburkan hasrat gandingan Aung Ngeain dan Ye Min Swe yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua untuk meraih pingat perak selepas dikenakan penalti gara-gara tiga anak panah di sasaran sama.

Set pertama menyaksikan Malaysia mendahului selepas mencatatkan 38 kutipan mata berbanding 17 mata dikutip Myanmar. Mata pasangan Myanmar dipotong kerana tersasar pada end 1.

Pasangan negara yang juga pemenang emas acara sama di Singapura 2015, terus selesa apabila mendahului set kedua dengan 74 mata mengatasi pasangan Myanmar yang hanya mengutip 65 mata.
Set ketiga Malaysia terus unggul dengan kutipan 114 manakala Myanmar dengan 104 mata dan kemenangan akhirnya diperoleh pada set keempat atau terakhir apabila Malaysia mencatat 152-142.

Terdahulu skuad memanah compound semalam meraih dua emas menerusi berpasukan wanita diwakili Fatin Nurfatehah, Nurul Syazhera Mohd Asmi dan Saritha Cham Nong serta compound berpasukan lelaki (Lee Kin Lip, Mohd Juwaidi dan Zulfadhli Ruslan).

Pada hari pertama kejohanan, Fatin menghadiahkan pingat gangsa dalam acara compound berpasukan manakala Juwaidi memenangi perak compound individu lelaki.

Fatin selepas majlis penyampaian terus bergegas ke sepang untuk menaiki penerbangannya ke Taiwan bagi menyertai Sukan Universiti Dunia (Universiade)