Gandingan penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman dan Leong Mun Yee gagal meraih pingat dalam Kejohanan Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina) ke-17 di Budapest, Hungary baru-baru ini.

Kedua-dua mereka sekadar berada di tempat kelima daripada 19 pasangan penerjun, dengan mengumpul 356.75 mata selepas enam pusingan terjunan dalam acara berpasukan campuran 3m dan 10m yang berlangsung di Duna Arena, menurut laman web rasmi Fina (www.fina.org)

Pemenang pingat emas pada kejohanan tersebut diraih oleh pasangan penerjun dari Perancis iaitu, Matthieu Rosset dan Laura Marino dengan mata yang terkumpul sebanyak 406.40.

Diikuti oleh Pacheco Marrufo Rommel/ Viviana del angel Peneche dari Mexico, yang memperoleh pingat perak dengan 402.35 mata.

Manakala, David Dinsmore dam Krysta Palmer dari Amerika Syarikat (USA) pula memenangi gangsa dengan 395.90 mata.

Dalam acara tersebut, setiap anggota pasukan perlu sekurang-kurangnya melakukan satu terjunan masing-masing bagi acara papan anjal 3m dan platform 10m.

Pemegang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Pandelela Rinong, dan Cheong Jun Hoong, yang memenangi gangsa dalam acara terjun seirama wanita 10m platform pada Ahad, akan mengambil bahagian dalam acara individu, hari ini.