Kecoh di media sosial baru-baru ini tentang penyebaran maklumat gaji pemain Kedah oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) memandang serius perkara ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KFA, Yusdi Madeonus Mohamad Yunus, pihaknya akan menajalankan siasatan tentang kesahihan maklumat itu sebelum melakukan tindakan yang sewajarnya.

“Saya sebagai CEO akan mengambil serius mengenai penyebaran dokumen gaji membabitkan pemain di laman sosial walaupun kesahihannya agak meragukan.

“Saya kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab mendedahkan perkara sulit berkaitan gaji pemain. Perkara yang tular di Internet memang sukar untuk dibendung, malah setiap hari kita didedahkan dengan banyak berita yang kurang sahih seperti berlaku dalam hal politik dan sebagainya”, katanya.

“Buat masa ini saya tak dapat nak ulas dengan lebih lanjut dan biarlah pihak KFA menjalankan siasatan sehingga selesai”.

Penyokong Kedah dikejutkan dengan penyebaran sekeping kertas kononnya maklumat gaji pemain yang diterima pemain pasukan itu di laman sosial.

Maklumat yang disebarkan dnegan tajuk ‘Kontrak Pemain 2018’ merujuk kepada gaji tahun dan musim ini yang diterima 29 pemain Liga Super Kedah yang mengikat kontrak dengan KFA.

Foto Kredit : semuanyabola(dot)com